Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham mohon maaf kes hina mahkamah, mahu tumpu kes saman Farhash
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 6:33 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menjelaskan dia bersetuju membuat representasi permohonan maaf kepada badan kehakiman mengenai kes menghina mahkamah selepas menerima cadangan daripada Peguam Negara (AG).

Selain itu katanya, dia juga berbuat demikian bagi memberi tumpuan kepada satu lagi kes mahkamah membabitkan Farhash Wafa Salvador dan dakwaan pembelian saham Heitech Padu oleh bekas pembantu kepada perdana menteri itu.

"Saya juga ingin tumpukan perhatian kepada satu lagi kes mahkamah iaitu berkenaan Farhash Salvador dan pembelian saham Heitech Padu.

"Yang ini adalah kes yang lebih besar dan penting untuk saya lawan dan beri perhatian dan mendapat sokongan AG dan badan kehakiman.

"Tidak bijak dan tidak masuk akal jika saya mengharap sokongan dan budi bicara kehakiman dalam satu kes tetapi melawan mereka dalam satu kes yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Farhash dilapor menghantar surat tuntutan bagi memberi tempoh tujuh hari kepada Isham agar menarik balik kenyataan dibuat di media sosial berkaitan laporan dia memperoleh pegangan saham HeiTech Padu Berhad menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd.

Farhash juga menuntut Isham membuat kenyataan maaf secara terbuka berhubung kenyataan itu yang dianggapnya bersifat fitnah.

Farhash mendakwa Isham memuat naik video di TikTok bertajuk “Kroni Anwar beli saham syarikat disenarai pendek kontrak imigresen RM1 bilion?”.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Isham telah menghantar surat representasi kepada peguam negara dan bersedia membuat tawaran untuk memohon maaf tanpa syarat bagi menyelesaikan prosiding menghina mahkamah terhadapnya.

Semasa pengurusan kes prosiding komital pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pendakwaan menerima surat permohonan representasi itu lewat bulan lepas.

Dia berkata Isham, melalui representasi itu, menawarkan permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan perkara penghinaan yang dikaitkan dengan kes jenayah 1MDB dan SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Mengulas perkara itu, Isham berkata, walaupun dia “ada duit”, dia mengambil jalan tengah dan menerima cadangan AG untuk tidak memanjangkan kes berkenaan.

"Representasi tersebut dibuat setelah ia dicadangkan oleh pihak AG kepada peguam saya beberapa minggu lalu. Mungkin pihak AG tidak mahu memanjangkan kes ini di mahkamah terbuka.

"Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan mereka sebabnya kerana kos guaman agak tinggi dan saya bukanlah seorang yang kaya raya atau billionaire," katanya.

Lihat Komen
ADS