Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Fahmi minta Khairy rujuk isu pembatalan PJD Link kepada JKR

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta mana-mana pihak termasuk Khairy Jamaluddin merujuk kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) sekiranya mahukan maklumat mengenai pembatalan projek lebuh raya PJD Link Expressway.

Fahmi berkata ini kerana JKR telah mengeluarkan maklumat terperinci mengenai perkara itu.

“Dia (KJ) kena baca sekali dengan kenyataan kerja raya. Saya dah sebut dalam sidang media sebelum ini, selepas mesyuarat kabinet bahawa akan ada kenyataan susulan daripada Kementerian Kerja Raya dan JKR telah pun keluarkan kenyataan.

“Jadi, saya minta mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pembatalan tersebut untuk rujuk kenyataan JKR,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi berkata demikian mengulas kritikan bekas menteri Khairy Jamaluddin yang dilaporkan sebagai berkata jurucakap kerajaan perpaduan itu tidak ada kepakaran untuk menjawab persoalan mengenai projek PJD Link dan pembatalannya.

Dalam episod podcast Keluar Sekejap, Khairy berkata pengumuman oleh Fahmi tidak mengandungi butiran mengenai pampasan kepada pemaju dan projek alternatif untuk menyelesaikan masalah lalu lintas.

“Apabila anda mengumumkan sesuatu yang besar seperti ini, anda perlu mempunyai butirannya. Anda mesti terlebih dahulu menjelaskan pampasan.

“Kedua, projek PJD Link dikatakan sebagai penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas… kerajaan kini perlu menjelaskan apa langkah seterusnya untuk menangani masalah lalu lintas di tengah-tengah pembatalan itu.

“Jika anda membuat keputusan yang begitu besar, anda tidak boleh mengumumkannya begitu sahaja. Dia tidak ada kepakaran untuk menjawab soalan seperti ini,” katanya, membayangkan pengumuman itu sepatutnya dibuat oleh menteri yang bertanggungjawab bagi projek itu.

Pada 17 April lalu, Fahmi mengumumkan kerajaan tidak akan meneruskan projek itu selepas syarikat konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan Putrajaya.

Sehari kemudian, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata dia tidak pasti sama ada kerajaan perlu membayar pampasan kepada pemaju susulan pembatalan itu.

Susulan daripada itu, sekumpulan penduduk Petaling Jaya menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek itu kerana ia penting untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan penduduk.

Lihat Komen
ADS