Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'6 MP pembangkang sokong PM akan dipuji jika proses rekonsiliasi buahkan hasil'

Tindakan enam Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai usaha wakil rakyat itu untuk mewujudkan kestabilan dalam negara, dan membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata sokongan itu merupakan usaha membantu kerajaan dalam penetapan dasar yang baik untuk rakyat dan pada masa sama sebagai proses semak dan imbang secara positif.

“Satu lagi sudut, mutakhir ini kita lihat satu proses rekonsiliasi (perdamaian) sedang berlaku dengan kerajaan mempertimbang permintaan pembangkang untuk diberikan peruntukan dan usaha itu untuk mewujudkan kestabilan.

“Kita jangka sekiranya pembangkang setuju dengan usaha ini, akan ada persetujuan dalam bentuk MoU (Memorandum Persefahaman) atau sebagainya menjurus kepada kerjasama untuk kestabilan dan selepas MoU ditandatangani, rakyat akan melihat tindakan enam Ahli Parlimen itu sebagai satu niat baik yang telah dimulakan terlebih dahulu untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Enam Ahli Parlimen berkenaan daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Fadillah berkata satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Menyentuh mengenai isu berkaitan (Ahli Parlimen sokong PM), Mazlan berkata tindakan Bersatu meminda perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti atau musuh sebagai sesuatu yang tidak jelas.

“Dari sudut politik saya lihat kenyataan oleh ahli politik yang tak bersetuju dengan enam Ahli Parlimen itu sekadar motivasi untuk mengekalkan keyakinan dalam parti.

“Sementara dari segi undang-undang, saya lihat terlalu kabur dan kalau pun berlaku, proses perundangan akan memakan masa dan selepas tiga tahun mendatang Parlimen ini tidak boleh buat pilihan raya lagi,” katanya.

Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu dari Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata tindakan enam Ahli Parlimen itu menyokong kerajaan memberi persepsi berbeza dalam kalangan ahli politik biarpun ia sekadar sokongan dan bukannya menyertai mana-mana parti.

“Bagi penyokong tegar parti Bersatu, mereka anggap ia sebagai pengkhianatan dan daripada sisi lain, ada yang kata ia untuk rakyat bagi memastikan peruntukan daripada kerajaan sampai serta mengalir terus kepada rakyat.

“Mereka hanya mengisytiharkan sokongan dan menyatakan mereka masih bersama pasti asal (Bersatu). Kepimpinan tertinggi Bersatu tidak sepatutnya marah berhubung tindakan enam Ahli Parlimen itu,” katanya.

Dalam pada itu, Profesor Adjung Universiti Malaya Datuk Sabirin Ja'afar berkata tindakan pucuk pimpinan Bersatu yang didakwa mengugut enam Ahli Parlimen itu boleh dinilai dalam perbuatan yang tergolong di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana dianggap melanggar amalan demokrasi berparlimen.

“Jika berlaku pelanggaran ini, sesiapa pun boleh buat laporan polis untuk siasatan dan apabila siasatan selesai, ia akan dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS