Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih kemuka reformasi menyeluruh untuk pilihan raya lebih adil

Selaras dengan kempen #Reformasi100peratus, badan pemantau pilihan raya Bersih mengemukakan beberapa cadangan untuk meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Laporan itu, yang dihasilkan oleh Asraf Sharafi, New Sin Yew, dan Benjamin Wei, itu mencadangkan pindaan 19 daripada 40 bahagian, memperkenalkan empat bahagian dan sub-bahagian baharu, dan mewujudkan empat huraian baharu bagi undang-undang itu.

Semasa taklimat mengenai laporan itu, Asraf menjelaskan ia berdasarkan penglibatan yang dijalankan antara 2019 dan 2021 dengan pelbagai agensi, termasuk pesuruhjaya pilihan raya, Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya, dan parti politik, untuk memodenkan undang-undang itu.

Mereka mengenal pasti bidang-bidang untuk penambahbaikan dalam akta itu, termasuk penggunaan bahasa yang kompleks, kekurangan definisi, peruntukan calon yang tidak praktikal, kekurangan kawalan ke atas penggunaan dana kerajaan semasa pilihan raya, dan penguatkuasaan undang-undang yang tidak mencukupi.

Asraf menegaskan bahawa kali terakhir, undang-undang itu telah disemak pada 2003 dan menekankan keperluan untuk ia dikemas kini untuk menangani kelemahan yang wujud.

Merujuk kepada pengumuman peruntukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming baru-baru ini untuk Kuala Kubu Baharu, Asraf berkata undang-undang itu pada masa ini tidak mempunyai peruntukan untuk mengawal penggunaan dana kerajaan semasa pilihan raya, yang berpotensi membawa kepada penyalahgunaan semasa berkempen.

Bersih sebelum ini membidas kerajaan berhubung peruntukan itu menjelang pilihan raya kecil tersebutb yang dijadualkan pada 11 Mei ini.

“Setiap kali ada pilihan raya, akan ada pengumuman (mengenai peruntukan) yang boleh membawa maksud salah guna dana kerajaan untuk berkempen,” jelas Asraf.

Dia seterusnya menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa terhad di bawah Akta tersebut, kerana mereka hanya boleh membuat laporan kepada polis atau SPRM.

Takrifan tepat, denda meningkat

Selain itu, Asraf berkata terdapat cadangan untuk takrifan fasa pilihan raya yang lebih tepat dan peningkatan denda bagi kesalahan daripada RM5,000 kepada RM10,000, yang kedua-duanya disokong oleh parti politik.

Begitu juga Bersih turut mencadangkan agar SPR diberi kuasa mengeluarkan notis kompaun sehingga RM10,000.

Sementara itu, penganjur Projek Sama Ngeow Chow Ying menimbulkan tentang saranan Bersih untuk menggandakan peruntukan berkempen buat calon parlimen dan DUN, masing-masing daripada RM200,000 kepada RM400,000 dan RM100,000 kepada RM200,000.

Selain kenaikan itu, Ngeow berkata kelemahan sedia ada seperti dana yang dibelanjakan oleh parti untuk calon dan papan iklan tajaan juga harus ditangani.

“Kami menyeru ketelusan untuk akaun calon, yang boleh diaudit. Kebanyakan pihak bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.

Meskipun Bersih juga mencadangkan tempoh berkempen untuk pilihan raya dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21, Ngeow berkata ada ahli politik dalam maklum balas memberitahu ini mungkin menelan lebih banyak perbelanjaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS