Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tak tanya Najib tentang pindahan AS$700 juta kepada Jho Low

Seorang pegawai penyiasat SPRM memberi keterangan bahawa dia tidak bertanya kepada Najib Razak sama ada bekas perdana menteri itu mengarahkan pengurusan tertinggi 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada entiti luar pesisir yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Nur Aida Arifin menjawab soalan peguam bela Azrai Wan Azwan Aiman semasa pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam prosiding lalu, saksi pendakwaan seperti bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh memberi keterangan bahawa dia tidak selesa berdepan Najib, yang ketika itu pengerusi lembaga penasihat dana, kerana mengesyaki tertuduh terlibat dalam pengalihan wang AS$700 juta kepada Good Bintang Terhad.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa AS$700 juta itu adalah sebahagian daripada AS$1 bilion yang diperuntukkan untuk usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited.

Azwan menyoal Aida mengapa dia hanya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung perpindahan dana itu tetapi tidak bertanya langsung kepada Najib.

Azwan: Adakah anda bertanya kepada Najib (semasa siasatan SPRM sama ada Najib memberi arahan kepada Shahrol)?

Aida: Tidak.

Azwan: Tidakkah anda fikir anda sepatutnya bertanya kepada Najib? Tidakkah anda fikir penting untuk bertanya kepada Najib?

Aida: Tidak.

Bagaimanapun, penyiasat SPRM itu mengulangi pendiriannya berdasarkan siasatannya bahawa Shahrol mengambil arahan mengenai transaksi 1MDB daripada Jho Low, yang tindakan dan tingkah lakunya menunjukkan persetujuan daripada Najib.

Saksi ke-39 pendakwaan tidak bersetuju dengan dakwaan Azwan bahawa Shahrol adalah konspirator bersama Jho Low, yang didakwa pasukan pembelaan mempengaruhi 1MDB tanpa pengetahuan dan persetujuan Najib.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib ketika itu adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Lihat Komen
ADS