Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Awat menteri 'Gol & Gincu' cakap macam itu, soal Sanusi
Diterbitkan:  Apr 24, 2024 3:42 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menempelak Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menasihatkannya “diam” dan menumpukan perhatian terhadap tugas berbanding “menyibuk” tentang negeri lain.

Katanya, jurucakap kerajaan itu tidak wajar memintanya berdiam diri kerana kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu akan berlangsung tidak lama lagi.

"Awat menteri Gol & Gincu cakap macam itu? Takkan nak masuk pilihan raya diam-diam.

“Kalau tuduh orang ada rumah RM7 juta, rupanya tuduhan itu tak betul, boleh la tutup mulut dok diam-diam... tu pun kalau ada rasa malu," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Fahmi dikatakan terlibat dalam siri TV Gol & Gincu terbitan Redfilms, yang bertemakan penglibatan wanita dalam sukan futsal.

Selain barisan pelakon termasuk Nur Fazura, Sharifah Amani dan Sazzy Falak, Fahmi turut berperanan menjayakan filem itu sebagai pelakon tambahan.

Semalam Fahmi pada sebuah majlis di ibu negara, menasihatkan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu supaya tidak terlalu banyak bercakap.

Katanya, menteri besar itu sepatutnya menyibukkan diri bagi menyiapkan pelbagai projek yang diumumkan di Kedah termasuk pembangunan tambakan laut di Langkawi yang dilaksana Widad Group dan projek litar lumba Sungai Petani.

Fahmi Fadzil

Sanusi pada Isnin lalu dilaporkan berkata tindakan MIC dan MCA untuk memboikot PRK Kuala Kubu Bharu memberi kelebihan kepada PN.

Pemimpin PAS itu juga berkata pihaknya mahu meretakkan lagi hubungan kerajaan PH-BN yang menurutnya kini telahpun sedia retak.

"Kita akan retakkan lagi untuk menjadi belah. Mereka sudah retak, kita akan pecahkan lagi. Itu kerja politik," katanya .

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu selepas dia mewakili kawasan berkenaan sejak 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pada 27 April.

Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu terdiri daripada 51 peratus diikuti Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) manakala baki 1 peratus lagi kaum lain.

Lihat Komen
ADS