Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak semakan kehakiman 204 pekebun durian di Raub
Diterbitkan:  Apr 24, 2024 6:39 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas mengambil masa lebih sejam untuk membaca alasan penghakiman.

Selain menolak semakan kehakiman, mahkamah turut mengarahkan pemohon membayar RM100,000 kepada setiap responden dalam kes berkenaan.

Antara alasan penolakan itu adalah mahkamah mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh dan sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Pekebun terlibat juga tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Kumpulan pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari Kuantan, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos 2020, manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 Sept tahun sama dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Saiful Edris Zainuddin ketika ditemui selepas prosiding mengakui lega dengan keputusan mahkamah hari ini.

Katanya, kes itu tidak sepatutnya dimulakan kumpulan pekebun dari awal kerana mereka secara jelas menceroboh tanah milik kerajaan negeri Pahang.

"Adalah lebih baik jika mereka menerima cadangan dan tawaran kerajaan Pahang, bekerjasama dengan pihak dicadangkan dalam memajukan kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, peguam mewakili plaintif, Siew Choon Jern berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat sebelum memutuskan sama ada akan menfailkan rayuan atau tidak.

"Kita akan berbincang apakah tindakan yang lebih baik supaya kepentingan pekebun tidak terjejas.

"Alasan penghakiman hari ini juga panjang dan perlu diteliti terlebih dahulu.

"Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan," katanya.

Lihat Komen
ADS