NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru kerajaan segera menghentikan apa yang disifatkannya sebagai tindakan keras terhadap kebebasan bersuara di negara ini.
Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pertuduhan menghasut terhadap seorang petani di Butterworh, Pulau Pinang.
"Kita adalah negara demokrasi, bukan rejim kuku besi," tegasnya.
“Hentikan tindakan keras ini dengan segera dan kami ulangi, mansuhkan akta hasutan,” katanya pada satu kenyataan.
‘Tapisan kendiri, ketakutan’
Menurut Sevan, terdapat penganiayaan berterusan terhadap pihak yang berbeza pandangan (witch-hunt), semata-mata untuk membanteras perbincangan yang mencemarkan nama baik kerajaan di mata orang ramai.
“Melalui sasaran yang sistematik terhadap orang awam, jelas sekali kerajaan telah gagal sepenuhnya dalam menegakkan bukan sahaja hak asasi kebebasan bersuara, tetapi juga undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak asasi ini.
“Dalam proses berbuat demikian, kerajaan meningkatkan penapisan sendiri dan ketakutan di kalangan rakyat yang lebih besar, secara berkesan menyekat penyertaan orang ramai dalam pembinaan negara,” kata Sevan.
Awal hari ini, Bernama melaporkan pesawah Azman Md Yusof, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth Noor Sini Yusof, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Difahamkan, kenyataan berbaur hasutan itu dibuat berhubung spekulasi awal mengenai projek kasino yang dikatakan di Forest City, Johor.
Mengulas lanjut, Sevan berkata siasatan sedemikian terus membazirkan sumber polis yang sudah pun terhad.
"Kami juga melihat corak kepolisan autoritarian sedang digerakkan, dengan polis dikerahkan oleh kerajaan untuk melayani kepentingan mereka dan bukannya kepentingan orang ramai, melalui aplikasi sewenang-wenangnya undang-undang zalim yang mereka tidak boleh bertanggungjawab," katanya.
“Malangnya tindakan keras sistematik seperti itu bukanlah perkara baru.
“Malah, taktik ini digunakan oleh pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengekang perbezaan pendapat orang ramai – kedua-dua Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia digunakan untuk menyiasat 14 aktivis atas rancangan mereka untuk menganjurkan perhimpunan #Lawan pada 2021 ,” katanya..
Memandangkan peningkatan penyiasatan dan pertuduhan berkaitan baru-baru ini, Sevan berkata kebebasan bersuara di Malaysia telah merosot ke tahap yang dilihat semasa pandemik Covid-19.
Katanya, situasi itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap langkah yang semakin ‘zallim’ oleh kerajaan terhadap orang ramai atas nama "memulihkan ketenteraman" atau "menegakkan kebenaran."
[Baca berita asal]
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
