Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tahanan rumah buat Najib hina kedaulatan undang-undang'
Diterbitkan:  May 2, 2024 4:28 PM
Dikemaskini: 9:33 AM
2

Membenarkan tahanan rumah buat bekas perdana menteri Najib Razak akan menghina kedaulatan undang-undang, kata Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama)

Ini kerana Menteri Dalam Negeri belum membuat sebarang peraturan untuk membolehkan tahanan rumah, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Seksyen 43 Akta Penjara 1995 membenarkan mana-mana banduan dibebaskan “atas lesen”, tertakluk kepada “mana-mana peraturan yang dibuat oleh menteri”.

“Membebaskan Najib atas nama tahanan rumah, akan menjadi penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang.

“Ia akan menjadi demonstrasi terang-terangan ‘dwi-standard’ penguatkuasaan undang-undang.

"Paling teruk, ia akan menjadi subversi terhadap raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, subversi kepada asas negara Malaysia," kata badan pemerhati reformasi institusi itu.

Jika lampiran yang menggantikan hukuman mahkamah Najib dengan tahanan rumah wujud, maka ini bertentangan dengan prinsip bahawa undang-undang hanya boleh digubal oleh badan perundangan dan kerajaan yang dipilih, tambahnya.

Projek Sama merujuk kepada dakwaan "perintah adendum" yang dikeluarkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Januari lalu, dan afidavit Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan kewujudan dokumen itu.

Najib memohon kebenaran untuk memaksa pelbagai wakil kerajaan - menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain - untuk mengesahkan adendum diraja itu.

Bagaimanapun, semakan oleh Malaysiakini mendapati peruntukan tahanan rumah ketika ini tidak wujud dalam undang-undang Malaysia.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dikurung di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International membabitkan penyelwengan RM42 juta.

Hukuman 12 tahun dan sabitan itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS