Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada faedah persoal latar pendidikan calon, kata Wan Fayhsal
Diterbitkan:  May 2, 2024 5:38 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

PRK KKB | Pemuda PN hari ini berpendapat, tidak ada sebarang manfaat kepada semua pihak jika isu latar belakang pendidikan calon diperkatakan lebih lanjut.

Timbalan ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata siu berkenaan sebenarnya bukan dibangkitkan oleh PN sebaliknya ahli politik PH yang mempersoalkan kelayakan akademin lawan mereka.

Kata Wan Ahmad Fayhsal, calon PN - Khairul Azhari Saut - memiliki kelayakan yang diiktiraf oleh Universiti Malaysia Pahang.

Isu tersebut juga, kata ahli parlimen Machang itu, sudah dijawab oleh PN.

"Saya tidak melihat ada sebarang faedah untuk kami membangkitkan isu ini lagi," katanya pada sidang media di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda PN Selangor yang juga ketua Pemuda PAS negeri itu Mohamed Sukri Omar dan Adun Gombak Setia Hilman Idham.

Sejak kempen PRK Kuala Kubu Bharu bermula, maklumat mengenai latar pendidikan Khairul Azhari menjadi perhatian apabila dia didapati melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana selepas memperoleh diploma pada 2019.

Bagaimanapun Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjelaskan, Khairul Azhari memang memiliki sarjana eksekutif pengurusan perniagaan dari institusi pengajian tinggi berkenaan.

Khairul Azhari Saut

Ketua Pegawai Operasi UMPSA, Ahmad Johari Mohamad, berkata Khairul Azhari, 54, melanjutkan pengajian melalui program profesional melalui UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada majlis konvokesyen 2021.

Kata Ahmad Johari, seseorang pemegang diploma boleh melanjutkan pengajian terus ke peringkat sarjana eksekutif di UMPSA jika memenuhi syarat-syarat kelayakan pengalaman kerja yang telah ditetapkan.

Pemohon juga perlu melepasi Penilaian Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (ROPE) di UMPSA.

Polemik itu semakin melebar apabila PAS pula mencabar calon PH, Pang Sock Tao, untuk berkongsi keputusan latar belakang pendidikannya.

Pang, 31, kemudian menjawab cabaran tersebut dengan mendedahkan butiran keputusan cemerlangnya di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Di peringkat pendidikan tinggi pula, Pang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik dan elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten)

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari kemudian membuat "permohonan maaf" atas isu tersebut tetapi berharap agar isu Pang yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan 'berterusan' di sepanjang PRK Kuala Kubu Bharu.

Rentetan polemik itu Sayap Bersekutu Bersatu dilaporkan menegur Ahmad Fadhli Shaari kerana membangkitkan isu sekolah vernakular dalam kempen tersebut.

Bagi sayap Bersatu yang menjadi wadah penyertaan anggota bukan bumiputera itu, langkah Ahmad Fadhli merupakan cubaan mendiskriminasi latar belakang pendidikan pihak lawan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata PRN Kuala Kubui Bharu adalah persaingan memilih seorang anggota dewan undangan negeri, dan bukannya ahli parlimen.

Justeru, katanya, tidak ada keperluan untuk mana-mana pihak membangkit dan memainkan isu latar belakang pendidikan seseorang calon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS