Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Stigma – orang ramai masih ragu-ragu dengan vaksin denggi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua bulan lalu meluluskan pendaftaran bersyarat kepada vaksin denggi Qdenga bagi membendung jangkitannya yang makin meningkat.

Bagaimanapun, mungkin sebab pertama kali diperkenal, masih ramai yang ragu-ragu untuk mengambilnya.

Ini susulan stigma terhadap vaksin Covid-19 sebelum ini belum benar-benar hilang, ditambah pula dengan laporan terkini bahawa AstraZeneca boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Tinjauan rawak Malaysiakini di beberapa kawasan perumahan padat di Lembah Klang minggu ini mendapati rata-rata penduduk masih tunggu dan lihat.

Tinjauan ini bagaimanapun mungkin tidak memberikan gambaran sebenar kerana hanya melibatkan sekumpulan kecil orang dan lokasi yang terhad.

Seorang penduduk Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya berkata Kementerian Kesihatan perlu membuat kajian dahulu sebelum menyuruh orang ramai mengambilnya.

Alam Long, 57, juga berpendapat vaksin tidak diperlukan jika kita dapat mengawal pembiakan nyamuk aedes.

“Sepatutnya Kementerian atau pusat kesihatan perlu datang terlebih dahulu cari punca kenapa berlakunya denggi bukannya terus disuruh penduduk ambil vaksin. 

“Jika sudah tahu puncanya dari mana jadi tidak perlulah mengambil vaksin lagi,” kata peniaga kedai telefon itu.

Alam berkata pihak berkuasa perlu menyelidik dari mana datang nyamuk aedes. 

“Melalui takungan air di bahagian mana? Kerana itu sememangnya tugas mereka. 

“Bukannya sikit-sikit vaksin. Orang mesti tak setuju,” katanya.

Alam berkata dia sendiri pernah membuat aduan berkaitan kes denggi di kawasannya tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.

“Mereka datang tengok dan balik,” katanya.

Menurut pakar perubatan kesihatan awam, kawasan perumahan dan pembinaan antara tempat paling dikenal pasti menjadi tempat pembiakan nyamuk, sekali gus menjadi punca penularan denggi.

Kes naik 86 peratus

Kerajaan pada 11 Februari lalu mengumumkan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada vaksin Qdenga keluaran syarikat syarikat Jepun–Takeda GmbH–untuk digunakan bagi individu berumur empat tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Radzi Abu Hassan berkata Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat itu setelah berpuas hati dengan penilaian ke atas keberkesanan, keselamatan dan kualiti produk.

Radzi Abu Hassan

Namun, kenyataan tersebut tidak memberitahu bila jangka masa vaksin tersebut akan tersedia di semua kemudahan kesihatan awam.

Melalui pendaftaran bersyarat, pemegang pendaftaran produk perlu mengemukakan data keberkesanan dan keselamatan vaksin dari semasa ke semasa untuk tujuan pemantauan.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah peningkatan kes denggi sebanyak 86.3 peratus pada tahun 2023.

Seramai 100 orang meninggal dunia tahun lepas berbanding hanya 56 bagi tempoh sama pada tahun 2022.

Data terkini pada minggu epidemiologi ke-16 (ME16) iaitu bagi tempoh 14 April hingga 20 April lepas mendapati kes meningkat kepada 2,321 berbanding 1,698 pada minggu sebelumnya.

Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME-17 adalah 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada 63 lokaliti yang dilaporkan, 51 lokaliti terletak di Selangor, empat di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Pulau Pinang, dua di Perak dan Kedah serta satu lokaliti di Sarawak.

‘Saya ada penyakit’

Sementara itu, penduduk Flat Taman Pantai Dalam, Zainun Ismail, 64, pula berkata dia bimbang pengambilan vaksin akan membawa risiko terhadap dirinya yang mempunyai beberapa penyakit kronik.

“Saya dah berusia dan perlu mengambil pelbagai ubat-ubatan kerana mempunyai penyakit kencing manis dan kolestrol.

“Jadi risau vaksin ini akan memudaratkan lagi tahap kesihatan saya,” kata warga emas yang juga suri rumah itu.

Bagaimanapun, katanya, jika keadaan denggi menjadi amat terus seperti kes Covid-10 sebelum ini, dia mungkin akan mempertimbangkan semula keputusan itu.

“Banyak lagi inisiatif yang boleh kerajaan buat selain vaksin ini. 

“Pusat Kesihatan sepatutnya tiap minggu datang buat pemeriksaan dekat longkang-longkang atau tempat yang mempunyai takungan air, barulah aedes tiada di kawasan ini. 

“Tapi buat masa sekarang ni memang saya takkan ambil sebarang vaksin,” katanya.

Mungkin…

Sementara itu, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Shankar berkata dia mungkin akan menyambilnya jika tidak dikenakan bayaran.

“Kalau percuma mungkin saya akan ambil, tetapi bergantung kepada saranan doktor kerana saya menjalani rawatan dialisis setiap minggu. 

“Jika berbayar sampai beratus (ringgit) saya sebagai golongan yang biasa ini susah juga untuk dapatkan vaksin,” kata Shanker, 42, yang juga seorang penganggur.

Sebagai golongan B40 dia berharap harga yang akan dikenakan tidak “melampau”.

Menurut DoctorOnCall vaksin itu akan tersedia mulai 9 Mei dengan harga RM550. 

Semakan Malaysiakini mendapat terdapat juga klinik yang menjualnya dengan harga RM440 untuk dua dos.

‘Setakat satu kes tak payahlah’

Sementara itu, penduduk Flat Taman Medan Cahaya, Faizah Abd Latif, 35, berkata dia enggan mengambil vaksin denggi tersebut kerana risau akan kesan sampingan.

“Bagi saya kalau satu blok dah kena denggi mungkin bolehlah kementerian datang bagi saranan ambil vaksin. 

“Macam sebelum ini pun penduduk sini tak bersetuju dengan vaksin Covid tetapi semua sebab terpaksa. Setakat satu kes bagi saya tak perlulah kita nak ambil vaksin,” kata kerana itu.

Dia juga berharap lebih banyak penerangan berkaitan vaksin itu akan dilakukan oleh kerajaan “supaya orang ramai lebih bersedia”.

Bagaimanapun, tidak semua memandang negatif dengan perkembangan baru itu.

Seorang pekerja kedai makan di Pantai Dalam berkata dia sedia mengambil vaksin itu dan menggalakkan anggota keluarnya mengikuti jejak langkahnya.

“Tambahan di kawasan tempat tinggal saya ini pun ada kes denggi. Jadi ini suatu usaha yang bagus untuk mengekang masalah demam denggi ini,” kata lelaki 42 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Nik Azman.

Cuma, katanya, kementerian perlu meyakinkan orang ramai dengan kajian yang dibuat mengenai keberkesanan vaksin tersebut. 

“Saya sendiri pun mengharapkan kajian yang dibuat terhadap vaksin itu penuh teliti serta tidak ada isu yang meragukan untuk orang mengambilnya,” katanya.

Penduduk Flat Taman Pantai Dalam itu juga berharap Qdenga dapat diedarkan secara percuma.

Menurut agensi perubatan Eropah, Qdenga mengandungi versi denggi virus serotip (varieti) 1, 2, 3, dan 4 yang dilemahkan.

Pengambilan dibuat secara suntikan dua dos dengan selang masa tiga bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS