Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KDN mahu manfaatkan AI untuk kukuh kawalan sempadan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka strategi bagi meningkatkan penggunaan teknologi terutamanya melibatkan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh kawalan sempadan negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pada masa ini agensi tunggal yang menyelia kawalan sempadan adalah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), maka penekanan khusus terhadap penggunaan teknologi terkini melibatkan AI perlu diadaptasi bagi memperkukuh lagi tadbir urus dan fungsinya.

“Sekarang kita dah ada (MCBA), jadi bagaimana kita nak manfaatkan teknologi dan inovasi dalam bidang kawalan sempadan? Oleh kerana itu, KDN sangat teruja untuk melihat aspek sekuriti ini semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas meninjau persiapan terakhir pempamer DSA dan NATSEC Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

Pameran berkenaan akan berlangsung selama empat hari bermula esok dan hanya terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, penjawat awam, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata tiga negara akan membuat penampilan sulung sebagai pempamer dalam DSA dan NATSEC Asia 2024 iaitu Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UEA) dan Iran.

Beliau berkata secara keseluruhannya, DSA dan NATSEC Asia 2024 menerima penyertaan daripada 1,324 syarikat dari 60 negara manakala 34 negara akan mempunyai Pavilion sendiri antaranya Turkiye, China, UAE, Itali dan Amerika Syarikat.

Turkiye sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar pada pameran ini dengan hampir 70 syarikat dari negara itu mengesahkan penyertaan termasuk Aselsan, CANiK, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.

Bagi syarikat tempatan pula, antara yang akan mengambil bahagian ialah DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS