Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Haramkan syarikat bekal senjata pada Israel di pameran Natsec’
Diterbitkan:  May 6, 2024 12:07 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Bersatu menggesa kerajaan menyekat syarikat yang membekalkan senjata dan peralatan perang kepada Israel daripada Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 yang bermula hari ini.

Dua syarikat yang dirujuk ialah Lockheed Martin dari Amerika Syarikat dan BAE dari United Kingdom.

"Kerajaan mesti mengharamkan penglibatan syarikat-syarikat tersebut," kata Ketua Biro Antarabangsa Bersatu Saifuddin Abdullah pada satu kenyataan hari ini.

Saifuddin yang juga bekas menteri luar berkata dia bimbang syarikat Lockheed Martin dan BAE Systems terlibat program anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

"Bersatu mendesak kerajaan supaya mengharamkan penglibatan Lockheed Martin dan BAE daripada menyertai dan menjadi penaja platinum pameran Natsec Asia 2024," tegasnya.

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Natsec sedang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur dari 6 Mei (hari ini) hingga 9 Mei.

Saifuddin berkata Lockheed Martin mengeluarkan jet pejuang F-35 manakala BAE pula membekalkan peralatan yang digunakan oleh Israel dalam serangan ke atas rakyat Palestin, mengakibatkan korban, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Dia berkata penyertaan syarikat-syarikat ini bertentangan dengan nilai-nilai negara dan solidariti yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin.

Saifuddin turut menyoal pendirian Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin (gambar atas) terhadap Israel.

Tanpa menjelaskan butiran lanjut, Saifuddin mendakwa "kerajaan ini mungkin mengiktiraf Israel dengan alasannya yang lemah."

"Adalah dibimbangi bahawa pameran ini menjadi medan halus percubaan untuk menormalisasi hubungan dengan Israel.

"Justeru, kerajaan mesti mengharamkan penglibatan syarikat-syarikat tersebut," dakwa Saifuddin.

Untuk rekod, pada Mac lalu, Mohamad Alamin menggesa gencatan senjata segera, penuh dan kekal; menggerakkan dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan; penubuhan mekanisme untuk memastikan perlindungan bagi rakyat Palestin dan menamatkan kekebalan Israel dan menangani pertanggungjawaban Israel untuk jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Mohamad Alamin juga menggesa semua negara untuk tidak memberikan sumbangan atau bantuan kepada Israel dalam mengekalkan penafian yang menyalahi undang-undang terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri (di wilayah Palestin) dan untuk meneruskan proses damai yang membawa kepada penubuhan dan pengiktirafan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya dan kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

BDS Malaysia gesa ‘tag’ Anwar

Sementara itu Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia turut membuat gesaan sama dan berkempen supaya pihak berkenaan mengambil tindakan menghentikan sebarang promosi kepada pembekal senjata Israel di Malaysia.

"Kementerian Pertahanan Malaysia menjemput pengeluar senjata Israel menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Natsec Asia 2024.

"Penaja platinum termasuk Lockheed Martin dan BAE Systems, antara syarikat terbesar yang terlibat dalam genosid Gaza," kata kumpulan pro-Palestin itu dalam risalah kempen di X.

BDS Malaysia turut menggerakkan kempen supaya orang ramai menyatakan bantahan dengan ‘tag’ di media sosial penganjur dan pihak terlibat Kementerian Pertahanan, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Tuntut mereka supaya buang Lockheed Martin dan BAE Systems sebagai penaja platinum.

"Menuntut institusi dan universiti yang emnagmbil bahagian seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaya (UM) supaya menarik diri daripada program tersebut," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS