Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan permohonan bekas presiden Umany batal pertuduhan 31 Mei
Diterbitkan:  May 7, 2024 3:24 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini menetapkan 31 Mei ini untuk keputusan permohonan bekas presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) bagi membatalkan pertuduhan mengingkari arahan seorang pegawai polis ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah empat tahun lepas.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Kar Yan yang mewakili Wong Yan Ke, 28, selaku pemohon.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri selaku responden tidak membuat sebarang hujahan lisan sebaliknya bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan sebelum ini.

Terdahulu, Chong berhujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya adalah tidak berasas yang mana ia bukan kecacatan bersifat teknikal seperti masa, tempat kesalahan atau nama orang.

“Kecacatan tersebut bersifat substantif, pertuduhan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang dan tidak dapat dibaiki oleh Seksyen 156 dan Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah,” kata peguam itu.

Beliau turut berhujah bahawa pihak responden (pendakwaan) gagal mengemukakan apa-apa hujahan yang menyangkal mahupun membalas hujahan pemohon.

Pada 13 Nov 2020, Wong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh ASP Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di Petaling Jaya pada 7 Nov 2020.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan UMANY.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS