Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Muhammad Yusoff Rawther untuk memaksa polis mendedahkan keputusan ujian poligraf yang diambilnya pada Disember 2019.

Hakim John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee petang ini menolak penemuan pihak ketiga oleh Yusoff, yang mahu bergantung pada ujian itu untuk mengukuhkan samannya berhubung dakwaan serangan seksual oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, permohonan penzahiran dokumen oleh Yusoff adalah tidak perlu dan tidak akan membantu mencapai keputusan adil dalam kes saman difailkannya terhadap Anwar.

Muhammad Yusoff Rawther

Menurutnya, dokumen berkenaan juga adalah sebahagian daripada kertas siasatan dan dengan itu dilindungi.

Katanya, lagi mahkamah mendapati Yusoff tidak menghuraikan dengan jelas keperluan dokumen berkenaan dan bagaimana ia adalah relevan dan dengan sekadar menyatakan ia adalah relevan dan perlu tidak mencukupi.

"Pengakuan plaintif ini mesti diberi perhatian sewajarnya oleh mahkamah, malah dalam afidavit yang sama itu, plaintif sendiri menegaskan bahawa ini akan memanjangkan atau menangguhkan perbicaraan.

"Adalah agak mengganggu dan membimbangkan bahawa plaintif sendiri yang meminta ujian poligraf dan kini ingin menggunakan laporan itu untuk membuktikan kesnya.

"Saya harus bersetuju dengan pihak ketiga (Polis Diraja Malaysia) bahawa jika permohonan ini dibenarkan, ia akan membuka ruang kepada orang awam untuk menggunakan bantuan pasukan polis bagi menyokong tindakan peribadi mereka di mahkamah sivil. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku," katanya.

Pada 17 Dis 2019, plaintif ke Bukit Aman untuk menjalani ujian poligraf berhubung siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual oleh Anwar.

Pada 2021 kemudian, Yusoff memfailkan tindakan sivil atas dakwaan bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual terhadapnya di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.

Yusoff mencuri tumpuan apabila pada 4 Dis 2019, semasa sidang media dia mendedahkan akuan berkanunnya yang memuatkan dakwaan serangan seksual oleh Anwar.

Pada 14 Jan 2020, Jabatan Peguam Negara mengumumkan, bahawa terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa Anwar di mahkamah jenayah berhubung dakwaan itu.

Dalam pernyataan tuntutannya untuk saman itu, Yusoff memohon pengisytiharan bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual dan/atau pencerobohan terhadapnya.

Dia juga menuntut RM180 bagi setiap sesi terapi, ganti rugi teladan, kos mahkamah, faedah lima peratus setahun ke atas sebarang kemungkinan jumlah penghakiman dan pelbagai kos atau ganti rugi lain.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan pada Sept 2021, Anwar menolak dakwaan serangan seksual itu sebagai “palsu dan rekaan” serta didorong oleh niat untuk “mencemarkan imej politik Anwar dan untuk memastikan dia tidak menjadi perdana menteri”.

Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa itu tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh berkenaan, dia melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut.

Sehubungan itu, Anwar pula menuntut ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS