Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan putuskan bayaran pencen hakim bersara ada kekurangan
Diterbitkan:  May 7, 2024 6:22 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan seorang hakim bersara menuntut kekurangan pembayaran pencen yang dibuat kepadanya antara tahun 2015 dan 2022.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk P Ravinthran, Datuk Azimah Omar dan Datuk Lim Chong Fong, dalam keputusan majoriti 2-1, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kerajaan dan JPA merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 9 Dis 2022 yang membenarkan saman pemula Datuk Ian Chin Hon Chong dan telah mengisytiharkan bahawa Akta Saraan Hakim 2014 yang dipinda adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan.

Ravinthran dan Azimah menolak rayuan rayuan kerajaan dan JPA manakala Lim menentang keputusan itu.

Ravinthran berkata beliau sependapat dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa pelarasan pencen adalah sebahagian daripada hak-hak yang termaktub dalam Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan.

Ketika membacakan alasan penghakiman, beliau berkata undang-undang bukan sahaja memberikan hak kepada seorang hakim di bawah Perkara 125 (7) tetapi juga memperuntuk kelebihan bagi pelarasan secara menaik dalam Akta Saraan Hakim 2014.

Ravinthran berkata beliau tidak menemukan merit dalam hujah peguam kanan persekutuan bahawa pelarasan pencen sebenarnya adalah satu bentuk faedah tambahan namun ia bukan hak kukuh.

Beliau juga berkata hak pencen adalah perlindungan perlembagaan yang diberikan di bawah Perkara 125 (4) serta Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan terhadap Akta Saraan Hakim adalah bercanggah dengan Perkara 125(7) dan (9) Perlembagaan,” katanya.

Ravinthran juga berkata Mahkamah Rayuan adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes difailkan oleh Aminah Ahmad dan 56 pesara penjawat awam terhadap kerajaan yang berkisar kepada undang-undang pindaan dan perlindungan perlembagaan serupa membabitkan penjawat awam.

Pada 27 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pindaan terhadap undang-undang pencen pada 2013 adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 3 (2) Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) yang berkuat kuasa pada 2013 telah meletakkan pesara kerajaan dalam situasi yang kurang baik berkaitan hak mereka untuk kenaikan pencen.

Menerusi keputusan minoriti, Lim pula berkata Akta Saraan Hakim (Pindaan) 2014 tidak boleh digugurkan atau diisytihar sebagai terbatal kerana melanggar Perkara 125 (7) dan (9) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Aminah kerana ia membabitkan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan yang hanya terpakai kepada penjawat awam.

Chin, yang bersara pada 2008, telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2022 dan memohon beberapa deklarasi.

Pada 9 Dis 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan bahawa Akta Saraan Hakim 2014 yang dipinda adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi mengarahkan agar Chin dibayar ganti rugi sebanyak RM301,768.60 yang merupakan kekurangan dalam jumlah pencen yang dibayar kepada beliau antara bulan Julai 2015 dan February 2022. Jumlah itu termasuk faedah sebanyak lima peratus.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bin dan M Kogilambigai hadir bagi pihak kerajaan dan JPA manakala Chin mewakili dirinya sendiri dengan dibantu oleh anak lelakinya, Arthur Chin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS