Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parallel pathway: UiTM kekal tak benar bukan bumi, tapi terserah k'jaan

Universiti Teknologi Mara (UiTM) kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya menerima kemasukan pelajar dalam kalangan bumiputera sahaja.

Perkara itu ditegaskan oleh naib canselor institusi pengajian tinggi terbabit, Shahrin Shahib, ketika diminta mengulas isu cadangan membenarkan program latihan ijazah lanjutan kepakaran (parallel pathway) kepada bukan bumiputera.

Shahrin Shahib

Menurutnya UiTM bagaimanapun bersedia dengan apa jua yang diputuskan kerajaan dengan restu Yang di-Pertuan Agong sekiranya perkara itu menjadi keperluan negara.

“Kami ini hanya badan perlaksana. Segala ketetapan akan dikeluarkan oleh jemaah menteri (kabinet) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan izin Yang di-Pertuan Agong sebagai teras Perlembagaan Persekutuan.

“Kami bersedia menerima apa sahaja keputusan yang dikeluarkan, namun selagi ia tidak mengubah Perkara 153 dan UiTM hanya untuk pelajar bumiputera sahaja,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sua Raya Adilfitri UiTM 2024 di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Raduan Che Rose.

Raduan Che Rose

UiTM adalah satu-satu universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik (pembedahan dan jagarawatan bagi penyakit jantung dan paru-paru).

Terdahulu, media melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan bahawa universiti itu bersetuju untuk membuka program berkenaan secara sementara kepada graduan bukan bumiputera.

Pada 25 April, Codeblue melaporkan Raja Amin, yang berada dalam lembaga pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, berkata bahawa universiti itu bersetuju untuk membuka peluang kepada pelatih dan graduan parallel pathway bukan bumiputera.

Dia berkata keputusan itu dibuat selepas bercakap dengan naib canselor UiTM dan pengerusi lembaga universiti tersebut, dan mereka bersetuju dengan idea itu untuk tempoh terhad.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program parallel pathway kepada bukan bumiputera.

Justeru, kata menterinya Zambry Abdul Kadir, tiada perbincangan antara kementerian dan institusi pengajian tinggi awam itu.

Sementara itu Raduan menegaskan universiti awam terbesar di Malaysia itu tiada masalah sekiranya latihan kepakaran kardiotorasik dibuka kepada bukan bumiputera sementara menunggu Universiti Malaya (UM) menawarkan program itu.

“Cuma masalah utama ada hal ini akan melawan Akta 153, jadi harus diselesaikan perkara itu sebelum menyelesaikan masalah lain,” katanya.

Tambahnya UiTM tidak akan berbuat apa-apa melainkan menunggu keputusan daripada KPT.

Dia turut meminta mahasiswa UiTM agar bertenang dan fahami terlebih dahulu konteks dan isu yang ingin dibawa dalam kes parallel pathway ini.

“Ada pemimpin mahasiswa di universiti ini berasa bimbang kononnya isu ini sangat besar sehingga akan menyebabkan UiTM akan dibuka kepada bukan bumiputera.

“Sedangkan perkara itu tidak benar kerana pertama sekali sekiranya program ini dibenarkan untuk dibuka kepada bukan Melayu, ia hanya secara one-off.

“Yang kedua, program ini hanya melibatkan sebilangan kecil sahaja kaum bukan Melayu yang secara khusus terlibat dalam latihan kepakaran kardiotorasik,” katanya.

Namun, Raduan turut mengakui terdapat (umum) kebimbangan hal ini akan menjadi pintu kepada agenda atau usaha untuk membenarkan UiTM dibuka kepada bukan bumiputera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS