Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan ke atas Bloomberg bukan arahan kerajaan

Fahmi Fadzil hari ini menjelaskan kerajaan tidak ada mengeluarkan sebarang arahan agar agensi berita Bloomberg disiasat berhubung laporan pembukaan kasino di Johor.

Menurut jurucakap kerajaan itu pihak berkuasa memulakan siasatan selepas ada aduan dikemukakan oleh firma guaman yang mewakili salah satu pihak yang disebut dalam laporan tersebut.

Katanya laporan polis dibuat oleh pihak Berjaya Corp Bhd (Berjaya).

"Berdasarkan laporan media yang saya teliti, laporan polis yang dibuat mengenai isu ini ialah daripada pihak Berjaya memalu firma guaman, jadi bukan laporan dari pihak kerajaan, bukan dari kementerian, dan bukan dari MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)," katanya di Putrajaya.

Sebaliknya kata Fahmi, ia dilakukan oleh syarikat yang didakwa terlibat dalam isu pembukaan kasino berkenaan.

Pada 25 April, Bloomberg melaporkan bahawa Malaysia sedang membincangkan cadangan membuka kasino di Forest City, Johor, melibatkan projek bernilai AS$100 bilion.

Laporan itu mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan pengasas Berjaya, Vincent Tan, dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk membincangkan perkara itu.

Bagaimanapin Anwar dan Berjaya menafikan laporan berkenaan.

Kata Fahmi tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas Bloomberg.

Dia yang juga menteri komunikasi menambah, disebabkan sudah ada laporan polis dibuat maka pihak berkuasa mengambil langkah seperti sepatutnya iaitu menjalankan siasatan.

"Jadi saya tegaskan, siasatan dibuat bukan atas arahan kerajaan, tapi hasil laporan polis yang dibuat oleh firma guaman yang mewakili syarikat yang dikaitkan dalam laporan oleh Bloomberg itu," katanya.

Media turut melaporkan yang polis akan mengambil keterangan daripada ketua pengarang agensi berita terbabit.

Sementara itu Fahmi berkata Kementerian Pertahanan akan mendedahkan laporan awal mengenai insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bergesel di udara baru-baru ini.

Kemalangan yang berlaku pada 23 April lalu di Lumut, Perak, itu mengorbankan 10 anggota TLDM.

Kata Fahmi, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin ada memberi sedikit maklum balas mengenai laporan awal kemalangan berkenaan yang akan dikeluarkan esok.

Menurutnya laporan lengkap mengenai tragedi itu pula dijangka disiapkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS