Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tolak dakwaan 'komplot besar' dalam serangan terhadap pemain bola
  • Dikemas kini supaya memberikan gambar lebih tepat.


Bukit Aman menolak dakwaan terdapat komplot antara ahli politik, polis dan samseng di sebalik serangan terhadap tiga pemain bola sepak tempatan - Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata sekurang-kurangnya satu akaun media sosial yang berkongsi dakwaan sedemikian, menggunakan profil palsu.

“Kami memantau (situasi). Kami tidak ada jumlah (akaun palsu) pada masa ini sebab kadang-kadang ada (muncul) selepas itu sudah tiada.

“Kita akan meminta bantuan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk bantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) (dalam mengenalpasti pemilik-pemilik akaun media sosial ini),” kata Shuhaily semasa sidang media di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya sedang mengenal pasti seorang pemilik media sosial yang dikenali sebagai Muhammad Suresh Imran berhubung kenyataannya mengenai serangan asid ke atas Faisal, tonggak skuad Harimau Malaya.

Media sosial itu juga mengaitkan istana dalam komplot itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahan dakwaan-dakwaan tersebut.

Sementara itu, Shuhaily berkata pihaknya juga sedang menyiasat kes serangan membabitkan tiga pemain bola sepak negara sekiranya berkait dengan isu tohmahan yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan lalu.

"Kita lihat keseluruhan adakah tohmahan kepada FAM sebulan lalu yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah nyatakan bahawa tohmahan tidak berasas.

"Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini?

“Ketidakpuasan hati kepada FAM diluahkan kepada pemain kebangsaan?

“Kita libatkan semua sudut dan aspek siasatan," katanya.

Kata Shuhaily kes yang melibatkan serangan terhadap Akhyar, Faisal dan Safiq kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

"Bagi kes kedua (Faisal), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan suspek.

"Saya juga menunggu laporan daripada pegawai saya bagaimana daripada kecederaan tahap dua merebak ke tahap empat," katanya.

Menurut Shuhaily, motif kejadian masih dalam siasatan kerana berdasarkan kes pertama, serangan mengakibatkan kerugian, kes kedua melibatkan kecederaan manakala kes ketiga pula mengakibatkan kerugian kerana kerosakan kenderaan.

"Sebab itu kes dibawa ke Bukit Aman," katanya.

Setakat ini, Shuhaily berkata polis telah merakan keterangan seramai 15 orang.

"Untuk kes kedua, seramai 10 orang telah direkod keterangan termasuk ahli keluarga dan saksi berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, dia turut mengesahkan laporan polis dibuat pihak Pengurusan Selangor FC dan siasatan dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman.

Tambah Shuhaily, pihaknya juga mendapati corak serangan terhadap ketiga-tiga pemain bola sepak tempatan dikenal pasti menggunakan modus operandi yang sama.

Shuhaily berkata modus operandi yang digunakan dalam kejadian pertama pada 2 Mei sehingga Selasa lalu adalah sama iaitu membabitkan dua individu.

Menurutnya, suspek dipercayai akan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

“Kita kenal pasti modus operandi kes terbabit, setiap kes serangan membabitkan dua orang atau berpasangan dan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

“Ketiga-tiga kes ini berlaku selang dua hari bermula dari kes pertama melibatkan (Akhyar Rashid), kes kedua (Faisal Halim) serta kes ketiga iaitu Safiq Rahim dan diharap kes sebegini akan berakhir," katanya.

Bagaimanapun, Shuhaily berkata belum jelas jika ada keterkaitan antara semua kes serangan ini.

"Polis akan cari habis-habisan penjenayah yang terlibat dalam insiden ini," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Suhaily meminta semua pemain bola sepak profesional sama ada di peringkat kebangsaan atau liga supaya sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan diri.

"Sekiranya mana-mana pemain bola sepak negara melihat sesuatu tidak biasa dari biasanya diingat agar untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS