Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada tanda-tanda MB S'gor akan jumpa pengundi India KKB - Charles

Masih tiada tanda-tanda Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan bertemu dengan pengundi India yang dikatakan tidak berpuas hati di Kuala Kubu Bharu seperti yang dicadangkan bekas ahli parlimen DAP Charles Santiago.

Ditanya jika mesyuarat seumpama itu sedang diatur, Charles nampaknya membayangkan kepada Malaysiakini mungkin rayuannya tidak didengar.

"Saya sudah membuat rayuan awam (kepada menteri besar)," katanya, merujuk kepada kenyataan akhbarnya pada 3 Mei, apabila dia membangkitkan kerajaan negeri dan masyarakat India telah "terputus hubungan."

"Saya masih dibanjiri permintaan untuk pertemuan seperti itu dari mereka di lapangan," katanya dengan nada kecewa.

Bagaimanapun, Charles enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu selain menegaskan undi orang India adalah penting pada pilihan raya kecil 11 Mei.

“Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut mengenai perkara ini. Saya pasti ahli politik berpengalaman tahu apa sentimen di lapangan dan cara untuk bertindak balas dengan sewajarnya,” tambahnya.

Charles sebelum ini berkata pengundi India, yang membentuk 18 peratus pengundi di Kuala Kubu Bharu, tidak berminat dengan ceramah tetapi mahu aduan mereka ditangani.

"Saya harap beliau (Amirudin) mengambil permintaan ini (untuk bermesyuarat), terutamanya apabila masyarakat kecewa dan melihat kepada alternatif," katanya.

Charles berkata pengundi India tidak mengetahui atau tidak menerima inisiatif kebajikan negeri seperti pembinaan kapasiti serta keusahawanan untuk menangani isu pendapatan dan kemiskinan.

Selain merasakan tiada kehendak politik untuk meneliti masalah orang India, kata Charles masyarakat itu juga percaya wujud diskriminasi terhadap mereka.

Seruan boikot

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan terdapat kempen menggesa pengundi India memboikot pilihan raya manakala bekas pemimpin DAP P Ramasamy turut menyeru mereka supaya tidak mengundi calon PH.

Pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu membentuk majoriti dengan 46 peratus, Cina (30 peratus) dan lain-lain (enam peratus).

Peratusan keluar mengundi yang lemah di kalangan pengundi India dan Cina, yang didakwa beberapa penganalisis kecewa dengan persepsi DAP yang menyerah kalah dalam isu tertentu, boleh menggagalkan usaha PH mempertahankan kerusi itu.

Sebelum ini, penganalisis politik Wong Chin Huat berkata maklum balas Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh terhadap isu kontroversi stoking KK Mart dan dakwaan PH berdiam diri mendorong penyokong gabungan itu mempertimbangkan tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini.

PRK KKB menyaksikan pertandingan antara calon PH Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

Kerusi itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya selama tiga penggal, pemimpin DAP Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS