Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SRC alami kerugian disebabkan Najib - bekas pengarah SRC
Diterbitkan:  May 8, 2024 10:58 PM
Dikemaskini: 2:58 PM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa SRC International Sdn Bhd tidak akan mengalami kerugian membabitkan pelaburan berjumlah RM3.6 bilion milik Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) jika Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak selaras dengan nasihat Lembaga Pengarah syarikat itu.

Bekas Pengarah SRC International Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, 75, berkata ini kerana operasi syarikat berkenaan sedikit luar biasa jika dibandingkan dengan syarikat tersenarai awam lain kerana pada akhirnya keputusan akan dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu.

Che Abdullah berkata Najib adalah pemegang saham tunggal serta penasihat emeritus syarikat dan beliau telah membuat keputusan untuk melaburkan RM3.6 bilion ke dalam syarikat itu.

“Sebenarnya, Lembaga Pengarah ada menasihati pihak pengurusan yang mendakwa berkomunikasi secara langsung dengan Najib untuk mencairkan pelaburan itu semasa USD mengukuh.

"Sekiranya Najib bertindak selaras dengan nasihat Lembaga Pengarah, saya amat yakin syarikat tidak akan mengalami sebarang kerugian atau sekurang-kurangnya boleh mengurangkan jumlah kerugian… justeru itu, tindakan menyalahkan saya dan Ahli Lembaga Pengarah lain adalah sesuatu yang difikirkan kemudian dan tidak mempunyai asas,” katanya.

Beliau berkata Najib terlibat dalam meluluskan resolusi pemegang saham syarikat itu yang mengarahkan SRC International memindahkan RM3.6 bilion kepada SRC BVI, sebagai antara pelan pelaburan syarikat," katanya sambil menambah beliau tidak mempunyai kuasa untuk membantah rancangan pelaburan kerana ia telah diputuskan oleh bekas perdana menteri itu.

Che Abdullah berkata demikian dalam pernyataan saksi dan ketika disoal oleh peguam Najib iaitu Muhammad Farhan Muhammad Shafee pada perbicaraan kes saman US$1.8 bilion yang difailkan SRC International terhadap bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan Nik Faisal Ariff Kamil.

Saksi itu juga berkata beliau tidak terlibat dalam permohonan pembiayaan atau kelulusannya kerana ia sudah diluluskan ketika Che Abdullah menyertai syarikat tersebut dan beliau juga tidak tahu tujuan SRC International memperoleh pinjaman itu.

"Penglibatan saya hanyalah meluluskan resolusi pemegang saham yang dibentang kepada Lembaga Pengarah. Saya tidak fikir Lembaga Pengarah boleh menyanggah resolusi itu kerana ia mengatasi keputusan Lembaga Pengarah... lagipun, Najib terlibat dalam meluluskan resolusi itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata Lembaga Pengarah menerima arahan yang jelas daripada pemegang saham iaitu Najib melalui sepucuk surat bahawa SRC International tidak seharusnya campur tangan dalam operasi SRC BVI.

Menjelaskan apa yang berlaku kepada RM3.6 bilion itu, Che Abdullah berkata Lembaga Pengarah dari semasa ke semasa telah diberikan taklimat oleh seorang pegawai Bank BSI mengenai status pelaburan itu malah pada satu ketika apabila USD mengukuh, beliau telah meminta agar pelaburan itu dicairkan dalam tempoh setahun.

"Memandangkan langkah mencairkan pelaburan itu tidak berlaku maka saya telah meletak jawatan daripada syarikat. Apabila kami meminta Nik Faisal membawa pulang wang itu, beliau memberikan pelbagai alasan seperti kadar mata wang yang rendah dan saya amat tidak berpuas hati dengan Nik Faisal kerana beliau gagal membawa pulang wang terbabit," katanya sambil menambah sepanjang berkhidmat di syarikat itu, beliau tidak pernah bertemu dengan Najib atau bercakap dengan bekas Perdana Menteri itu secara peribadi.

Nik Faisal, yang dipercayai melarikan diri dari Malaysia, adalah antara individu yang diberi mandat sebagai penandatangan SRC International.

Untuk rekod, SRC International membuat pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada KWAP antara 2011 dan 2012, dan sebahagian besar daripadanya iaitu RM3.6 bilion telah dipindahkan ke akaun bank Switzerland dan dibekukan ketika ini oleh pihak berkuasa negara itu.

Sebelum ini, SRC telah menggugurkan lima bekas pengarah termasuk Che Abdullah daripada saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka dalam saman yang failkan SRC International terhadap beliau.

SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS