Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank Negara diarah bayar RM366,062 kepada bekas pengurus

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini  memerintahkan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya membayar ganti rugi  RM366,062 kepada Y Kohila.

Ini berhubung pemecatannya secara tidak sah sebagai pengurus daripada bank pusat itu kerana terbabit dalam aktiviti politik.

Bank pusat itu juga diarahkan supaya membayar wanita itu sebanyak RM50,000 sebagai kos.

Keputusan itu dikongsi bersama oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam hantarannya di media sosial parti itu awal pagi ini.

Ia turut memuatkan gambar Kohila yang juga adalah ahli parti itu di luar Mahkamah Tinggi bersama pasukan peguamnya yang diketuai oleh Ambiga Sreenevasan.

Pada 29 Mac, Mahkamah Tinggi memutuskan pemecatan Kohila yang berusia 48 tahun daripada tugasnya sebagai pengurus BNM, kerana menyertai aktiviti politik dari 2013 hingga 2017, sebagai menyalahi undang-undang.

Hakim Ahmad Bache berkata siasatan domestik BNM tidak dijalankan secara adil dan dia tidak diberi masa yang mencukupi serta dokumen berkaitan untuk membuat persiapan membela diri.

Dia juga berkata Kohila, yang didakwa melanggar tiga kod tingkah laku berasingan, tidak diberi hak untuk didengar, yang merupakan pelanggaran keadilan semula jadi. Ini kerana siasatan menolak permintaannya untuk diwakili peguam luar dan saksi untuk memberi keterangan semasa prosiding dalaman.

Kohila yang ketika itu Pengurus Muzium, Galeri Seni dan Pusat Pengurusan Ilmu Pengetahuan BNM, telah memfailkan saman berkenaan pada 2018 dengan menamakan BNM sebagai defendan.

Dakwa plaintif, pada Mei 2017, beliau telah diberikan surat tunjuk sebab oleh BNM kerana menyokong sebuah parti politik dan mengambil bahagian dalam perhimpunan awam yang dianjurkan oleh parti itu pada 2016.

Katanya Jawatankuasa Tatatertib pada Jun 2017, telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan plaintif atas tiga pertuduhan salah laku di bawah Kod Etika 2012.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS