Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aneh bila PN nak fail petisyen kalau kalah, kata Loke

PRK KKB | DAP menganggap 'kata dua' diberikan seorang pemimpin kanan PN bukan saja petanda mereka sedar akan kalah, bahkan "aneh".

Setiausaha agungnya, Anthony Loke, berkata dalam isu pemimpin kerajaan dituduh menyalahgunakan aset kerajaan, mana-mana pihak boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Namun kata Loke dia hairan apabila PN hanya akan membuat bantahan dan menghantar petisyen jika mereka kalah pada Sabtu ini.

"Apa yang saya rasa aneh ialah, dia kata kalau kalah baru buat (petisyen). Jadi kalau mereka menang maksudnya kita (PH-BN) tak salahkah?

"Itu yang saya rasa sangat pelik. Kalau dia (PN) betul-betul kata kami ada buat kesalahan, patutnya report (buat aduan) sekarang, bukannya tunggu selepas PRK.

"Maksudnya kalau dia menang, tak ada masalah; kalau dia kalah, dia nak cabar," katanya kepada media di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu hari ini.

Pada 7 Mei lalu Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, mengingatkan pengundi Kuala Kubu Bharu yang mereka mungkin perlu menghadapi pilihan raya kecil sekali lagi jika calon pembangkang, Khairul Azhari Saut, kalah.

Berkempen ikut undang-undang

Hal itu kerana, kata Takiyuddin, PN akan mengemukakan petisyen bagi mencabar kemenangan berkenaan dengan alasan berlaku amalan rasuah dalam pilihan raya tersebut.

"Kita (PN) dah ada (bukti)... kita dah kumpulkan perkara ini, jadi saya menyerulah kepada rakyat Kuala Kubu Bharu kalau tak nak mengundi sekali lagi PRK pastikan PN akan menang dalam pilihan raya ini.

"Kalau pihak yang satu lagi menang iaitu PH, pasti kami akan memfailkan petisyen pilihan raya ini," katanya yang juga setiausaha agung PAS.

Untuk rekod sesuatu petisyen perlu dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya. Namun ia tertakluk kepada pertimbangan mahkamah sama ada menerima atau menolaknya.

Petisyen pilihan raya yang diterima menyaksikan dua pilihan raya kecil diadakan baru-baru ini masing-masing melibatkan kerusi parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman.

Takiyuddin Hassan

Ia diadakan selepas mahkamah pilihan raya mendapati berlaku amalan rasuah semasa berkempen dalam PRU ke-15 lalu di kedua-dua kerusi tersebut.

Satu lagi petisyen yang melibatkan PAS secara langsung ialah di Marang. Bagaimanapun cubaan membatalkan kemenangan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di kerusi tersebut ditolak.

Menurut Loke pihak kerajaan yakin setiap kegiatan yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen di Kuala Kubu Bharu adalah berada dalam lingkungan undang-undang.

Jika ada pihak yang tidak berpuas hati, katanya, mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Terpulang kepada mereka, tapi saya fikir dia (PN) dah rasa tak boleh menang. Dia nak cabar pula nanti dalam petisyen.

"Bagi kami, kami menjalankan kempen mengikut lunas undang-undang.

"Memang saya sudah pesan kepada calon, kepada pasukan kami agar sentiasa mengikuti peraturan-peraturan yang ada," katanya.

Selain Khairul Azhari, pilihan raya kecil pada 11 Mei ini turut ditandingi Pang Sock Tao sebagai wakil kerajaan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS