Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Miskin tegar di T'ganu akan dinoktahkan dalam tempoh 2 bulan

Kerajaan persekutuan berazam untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu dalam tempoh dua bulan akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata setakat 2 Mei, terdapat sebanyak 1,663 keluarga di negeri itu masih berada dalam kelompok miskin tegar.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata agensi kerajaan persekutuan telah diarahkan untuk membuat gerak kerja dengan kerajaan negeri bagi memastikan kemiskinan tegar di Terengganu dapat dinoktahkan dalam tempoh yang diberikan itu.

“Takkanlah dengan kekayaan seluruh agensi, (dan) kementerian tidak boleh tolong lebih 1,000 keluarga ini supaya selamat daripada miskin tegar. Maknanya tidak cukup makan, tidak ada pakaian untuk anak-anak dan susah untuk beli uniform (pakaian seragam) untuk anak-anak ke sekolah.

“Dengan syarat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama sepenuhnya untuk menoktahkan kemiskinan tegar ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, di Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Majlis anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bersama Kerajaan Terengganu itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

Dalam pada itu, Anwar menyeru kepada rakyat khususnya di Terengganu supaya menolak tohmahan kononnya kerajaan persekutuan tidak memberi perhatian kepada negeri tersebut kerana ia ditadbir oleh pihak pembangkang.

Malah dia berkata kerajaan persekutuan sentiasa memberi keutamaan serta mengarahkan supaya projek-projek untuk kepentingan rakyat di negeri itu termasuk tebatan banjir, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan prasarana disegerakan.

“Kalau tidak, Madani ini tiada maknanya jika tidak diberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Anwar berkata kerajaan pusat juga sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan projek-projek di Terengganu seperti tebatan banjir dilaksanakan mengikut jadual.

Dalam pada itu, dia turut menyeru kepada kerajaan negeri supaya berbincang dengan pihak berkaitan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai potensi pelaburan domestik dan asing yang boleh dibawa masuk ke Terengganu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS