Pelaburan RM177 bilion untuk bangunkan koridor utara

   

Pelaburan sebanyak RM177 bilion diperlukan untuk membangunkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mulai hari ini hingga tahun 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, satu pertiga daripadanya dianggar datang dari kerajaan manakala dua pertiga lagi dari pelaburan swasta, termasuk melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Ketika melancarkan Rangka TIndakan NCER di ibupejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Star hari ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memulakan pelaburan bagi menyediakan persekitaran sosioekonomi, yang dijangka akan disambut oleh pihak swasta, seterusnya dengan pelaburan komersial.

Rangka tindakan itu adalah untuk merangsang pertumbuhan dan meningkatkan tahap pendapatan di Koridor Utara yang mempunyai kira-kira

4.29 juta orang dalam tempoh lebih 20 tahun.

Program pembangunan Koridor Utara itu dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai kawasan untuk melahirkan pembangunan

ekonomi negara secara seimbang dan sama rata.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata dalam fasa permulaan, program yang dikenal pasti akan melibatkan pertambahan RM5 bilion oleh kerajaan di atas peruntukan yang sedia ada.

"Kerajaan bercadang untuk menyediakan pelaburan ini melalui kajian semula program-program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), serta

penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK9 nanti," katanya.

Badan pelaksana

Abdullah berkata, fokus seterusnya adalah untuk melaksanakan apa yang telah dirancang menerusi penubuhan sebuah badan pelaksana dan penyelarasan

yang mempunyai wakil kerajaan pusat serta kerajaan-kerajaan negeri.

Perdana Menteri berkata beliau akan mempengerusikan badan itu bersama-sama dengan Menteri-menteri Besar Kedah, Perlis dan Perak serta Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya konsep koridor utara itu adalah berdasarkan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi

setiap negeri digembleng bersama.

"Setiap negeri mempunyai kekuatannya tersendiri. Jika digabung, kekuatan ini akan membawa kemajuan yang lebih pesat kepada semua rakyat utara berbanding bekerja secara bersendirian," kata Abdullah.

Menurutnya, inisiatif Koridor Utara itu terdiri daripada program dan pendekatan yang bertujuan untuk merangsang pembangunan sosioekonomi kawasan itu bagi kesejahteraan rakyat tempatan.

Pembangunan yang dijalankan, katanya, adalah berteraskan arus pasaran dan perdagangan, supaya kawasan utara tidak ketinggalan dalam era globalisasi.

Abdullah berkata matlamat pembangunan ini "mengharuskan perubahan minda mengenai potensi negeri-negeri dan daerah-daerah utara" dan inisiatif

Koridor Utara itu berbeza daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor kerana ia meliputi kawasan yang lebih luas, serta mempunyai

ciri-ciri penduduk yang berbeza.

"Peluangnya berbeza, dan cabaran-cabarannya juga berbeza. Contohnya, statistik terkini menunjukkan kadar kemiskinan di Kedah dan Perlis lebih

tinggi berbanding kadar purata kemiskinan bagi seluruh negara," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In