Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berjaya dalam usaha mereka untuk membatalkan saman taikun Halim Saad berhubung kerugian yang didakwa dialaminya selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd kira-kira 23 tahun lalu.
Pesuruhjaya kehakiman, Dr Suzana Muhamad Said ketika membenarkan permohonan Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan persekutuan berkata, dia membenarkan pembatalan saman itu selepas mendapati satu lagi kes yang difailkan Halim pada tahun 2013, membabitkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.
Justeru, katanya, apa sahaja isu yang ada, prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa adalah terpakai.
Malah, katanya, permohonan mengketepikan saman kerajaan itu dengan prinsip stare decisis (untuk berpegang pada perkara yang telah diputuskan oleh duluan) dalam kes Kewangan Komersial Asia.
Halim menuntut hak perlembagaannya di bawah Perkara 8(1) dan 12(1)(2) Persekutuan Perlembagaan untuk pembelian kerajaan sebanyak 32.69 peratus kepentingan dalam Renong Bhd daripada United Engineers Malaysia Bhd (UEM).
Bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong itu, memfailkan saman terhadap ketiga-tiga mereka pada 2 Ogos tahun lalu.
Dr Suzana dilaporkan berkata, mahkamah mendapati Halim sebelum ini memfailkan saman terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed, dan kerajaan berhubung perkara sama pada 2013, yang telah dilupuskan.
Menurut New Straits Times, dia berkata sebarang isu yang dibangkitkan ketika itu terikat dengan prinsip res judicata dan had masa.
"Ada sebab untuk klausa pengehadan. Ia bagi mengelakkan tindakan yang tidak perlu diambil, terutama selepas tempoh yang berpanjangan," Dr Suzana dipetik sebagai berkata.
"Dalam kes ini, kejadian berlaku pada 2001. Sudah lebih 20 tahun, dan memandangkan saman yang difailkan pada 2013, lebih 10 tahun lalu, kes semasa ini hanya dibangkitkan sekarang," katanya.
Pada 2013, Mahkamah Tinggi menolak saman Halim yang menuntut ganti rugi RM1.8 bilion bagi penjualan sahamnya, atas alasan ia difailkan melebihi tempoh enam tahun yang dibenarkan di bawah Akta Had Masa 1953.
Susulan itu, Dr Suzana dilaporkan memutuskan bahawa tidak ada keperluan bagi mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan Halim untuk merujuk dua soalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan. Dia mengarahkan Halim membayar kos RM10,000 kepada ketiga-tiga mereka.
Halim, yang diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, telah mendakwa dalam pernyataan tuntutannya bahawa defendan pertama dan kedua (Dr Mahathir dan Nor Mohamed) telah bertindak bagi pihak kerajaan dan merupakan penggerak utama dalam pemerolehan wajib dan pelucutan sahamnya pada tahun 2001.
Halim menegaskan bahawa 37.92 peratus kepentingan Renong dalam UEM adalah kepunyaannya, dan dia berhasrat untuk membuat tawaran umum ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau secara bersama, untuk mengambilnya secara persendirian sebagai anak syarikat.
Bagaimanapun, dilaporkan bahawa dia mendakwa diarahkan oleh Dr. Mahathir, melalui Nor Mohamed, untuk tidak meneruskan pengambilalihan itu kerana kerajaan mahu mengambil alih semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Bhd.
Halim seterusnya dilaporkan mendakwa bahawa dia diarahkan untuk keluar dari UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah, termasuk dalam anak syarikat mereka, yang memerlukannya menyerahkan kawalan kepada kerajaan dan akhirnya melupuskan saham Renong yang dimilikinya dengan kerugian.
Dia mendakwa ini melanggar haknya yang termaktub dalam Perkara 8 dan 13 Perlembagaan Persekutuan.
