Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah penganjuran konsert Gwen Stefani pada 21 Ogos 2007 yang menurutnya bertentangan dengan budaya dan norma-norma kehidupan masyarakat timur.
PKPIM bimbang persembahan artis berkenaan akan melanggar garispanduan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan kepada latarbelakang dan sejarah penyanyi tersebut.
Tambahan pula, kata Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli, tayangan iklan dan klip video artis tersebut dilihat tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.
"Tayangan iklan di televisyen berkenaan konsert itu sangat melucahkan, (dan) memberi kesan buruk kepada kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mengikut kod 15.2 SKMM menyatakan pemakaian artis wanita yang ingin membuat persembahan di Malaysia adalah seperti berikut:
- Pakaian hendaklah lengkap, kemas, sopan dan tidak terlalu ketat;
- Pakaian hendaklah tidak mendedahkan sebahagian besar dada dan perut;
- Skirt hendaklah di bawah paras lutut; dan
- Kain berbelah sama ada di hadapan, di tepi atau di belakang, hendaklah tidak melebihi dua inci di atas paras lutut.
Garispanduan artis
Selain itu, kata Mohd Hilmi lagi, kod 15.3 pula menyatakan bahawa artis lelaki dan wanita perlu mematuhi garispanduan seperti di bawah:
- Muka hendaklah tidak diconteng;
- Pakaian hendaklah tidak koyak atau bertampal-tampal;
- Pakaian hendaklah tidak terlalu jarang atau yang memberi kesan jarang;
- Pakaian hendaklah tidak memaparkan simbol, perkataan sumbang atau gambar lucah;
- Jenis-jenis pakaian hendaklah tidak membayangkan pemakainya tidak berpakaian;
- Baju hendaklah berlengan kecuali semasa berpakaian tradisional;
- Tatu hendaklah tidak dipamerkan pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali sememangnya menjadi unsur budaya seseorang artis itu; dan
- Perwatakan hendaklah tidak berlawanan dengan jantina sebenar kecuali dengan kebenaran.
Kod etika
"Berdasarkan kod etika di atas, sememangnya artis yang bakal dijemput sudah melanggar kod etika tersebut. Bukan setakat kod tersebut, bahkan dari segi adab dan budaya pun sudah bertentangan," kata Mohd Hilmi.
PKPIM, katanya, melihat sudah ada kecenderungan di beberapa pihak seperti syarikat telekomunikasi yang berlumba-lumba mengadakan konsert di mana kebanyakan asrtisnya adalah artlis luar negara yang jelas tidak mengetahui dan memahami kebudayaan masyarakat Malaysia.
"Trend ikutan budaya Barat terutama dari segi pemakaian semakin menjadi-jadi di Malaysia," katanya sambil menambah perkara itu bertambah buruk apabila ada pihak yang seakan-akan mengizinkannya berlaku.
"Gejala hendonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini.
"Sedangkan seperti yang kita maklum, budaya timur yang menghiasi masyarakat kita sejak turun temurun dari generasi ke generasi begitu kaya dengan amalam budi bahasa, sikap sopan santun, berpekerti mulia yang jelas bercanggah dengan budaya Barat ini," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hilmi berkata PKPIM menggesa supaya penganjuran konsert terbabit dibatalkan.
