Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) Isnin lalu, berhubung laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.

Katanya, RSF menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan kebebasan akhbar di negara ini.

Dia turut menyampaikan jemputan kepada badan pemantau kebebasan akhbar itu untuk bersama menghadiri sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 pada akhir bulan ini.

“Dalam mesyuarat yang diadakan secara dalam talian, kami membincangkan kenyataan dan laporan yang dibuat oleh RSF.

“RSF sebenarnya menyatakan gembira menerima penglibatan dengan kementerian dan bersedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan untuk melihat apa yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan kebebasan akhbar di negara ini.

“Mereka telah menjelaskan bahawa sebenarnya indeks kebebasan media yang mereka laporkan adalah berdasarkan maklum balas responden, yang telah mengisi sejumlah dokumen atau survei dan tidak semestinya berdasarkan kepada usaha mereka sendiri di lapangan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan RSF pada 3 Mei lalu, menunjukkan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan, jatuh 34 anak tangga ke kedudukan 107 berbanding 73 pada tahun lalu, dengan memperoleh skor 52.07 mata.

Buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun, Malaysia tidak mendahului dalam ranking negara Asean dengan Thailand mencapai tempat ke-87.

Fahmi sebelum ini mempertahankan ranking itu dengan berkata ia masih dianggap baik jika dibandingkan dengan ranking yang dicapai ketika kerajaan terdahulu.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional Wan Saiful Wan Jan menyalahkan Fahmi untuk ranking itu, dengan mendakwa bahawa kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Israel, yang berada di tempat ke-101.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Berrnama melaporkan menyentuh mengenai sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 pada hujung bulan ini, Fahmi berkata pengamal media dari rantau Asia Tenggara, turut dijemput menghadiri sambutan yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mei ini di Kuching, Sarawak.

“Untuk tahun ini, kita juga membuka ruang kepada rakan-rakan media dari rantau Asia Tenggara, jemputan telah dihantar, untuk mengadakan perbincangan sebagai antara langkah persediaan menuju ke Kepengerusian Asean oleh Malaysia, tahun depan.

“Kita harap dengan hubungan erat rakan media dari rantau Asia Tenggara akan memantapkan lagi kebebasan media dan juga dari segi aktiviti kewartawanan di rantau ini,” katanya.

HAawana 2024 mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 27 Mei.

Kabinet tak bincang isu titah adendum

Sementara itu, ditanya sama ada mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan isu titah adendum berkait tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan kenyataan terkini Anwar, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan dan berkemungkinan ia akan dibawa ke mesyuarat akan datang.

“Perkara itu tidak dibicangkan (hari ini)… mungkin selepas Perdana Menteri pulang ke tanah air minggu depan. Tapi saya percaya, apa yang dimaksudkan (oleh Anwar) adalah mengikut proses (undang-undang),” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam wawancara bersama Bloomberg pada Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha semalam berpandangan, Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib, selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya selesai.

Perdana Menteri berkata Najib perlu melalui proses yang sedang berjalan, termasuk perbicaraan di mahkamah membabitkan kes 1MDB.

Pada 1 April, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas perdana menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

 Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno memfailkan afidavit sebagai ‘saksi kritikal’, yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman itu.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, kewujudan titah itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan mereka di rumah Presiden Umno itu di Country Heights, Kajang, pada 30 Jan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS