Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyerang balai polis Ulu Tiram dipercayai ahli Jemaah Islamiyah
Diterbitkan:  May 17, 2024 12:38 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Suspek yang membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor awal pagi tadi dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Polis mengesyaki suspek berusia 22 tahun itu telah merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan, namun motif sebenar suspek masih belum dapat dipastikan.

Ketua Polis Negara berkata pihaknya telah menahan lima ahli keluarga suspek semasa serbuan di rumah keluarganya.

"Saya juga telah arahkan SB (Cawangan Khas) dapatkan semua anggota JI di Johor untuk dikenal pasti dan ambil (mereka) untuk siasatan," katanya kepada pemberita di Johor.

Polis juga telah menahan dua pelajar - seorang lelaki berumur 22 dan seorang perempuan berumur 21 - yang datang ke balai polis berkenaan tidak lama sebelum serangan bermula.

Menurut Razarudin, pelajar terbabit datang ke balai itu atas alasan untuk mendapatkan nasihat polis mengenai serangan seksual yang mereka dakwa berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Ketika kedua-duanya membuat laporan, penyerang memasuki balai itu dengan menaiki motosikal dan meletakkan kenderaannya di kawasan belakang balai berkenaan.

Salah seorang anggota polis kemudian membuat pemeriksaan sebelum penyerang menetaknya dengan parang.

Menurutnya suspek kemudiannya mengambil senjata api anggota polis terbabit.

"Bila anggota peronda pergi cari suspek ini, dua anggota CPJ (Cawangan Pencegahan Jenayah) balik dengan kenderaan telah dimaklumkan perkara ni dan telah berlaku tembak menembak.

"Salah seorang anggota CPJ telah ditembak di pipi dan tembus di kepala dan meninggal di tempat kejadian.

"Bagaimanapun, seorang anggota kita di situ telah tembak suspek," kata Razarudin.

Razarudin berkata polis mengesyaki pelajar terbabit mempunyai kaitan dengan penyerang, memandangkan tidak munasabah untuk mereka datang ke balai pada masa tersebut bagi melaporkan kejadian yang berlaku dua tahun lalu.

Sementara itu, Razarudin berkata penyerang dipercayai telah membuat persediaan rapi untuk menyerang balai berkenaan.

Ini berdasarkan beg yang mengandungi zink, kain dan kertas yang digunakannya sebagai perisai semasa berbalas tembak dengan anggota polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS