Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak MB Perlis didakwa kemuka tuntutan palsu lebih RM19,000
Diterbitkan:  May 23, 2024 10:30 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Anak lelaki kepada Menteri Besar Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 Februari lepas.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan terhadap Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia dituduh memberi satu dokumen iaitu Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis kepada Nurul Nabilah Mohd Sukri yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, pada 19 Feb 2024 dengan niat memperdayakan prinsipalnya.

Mohd Syafeeq didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tuntutan berjumlah RM19,505.10 bertarikah 14 Feb 2024 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid berkaitan Perkhidmatan Menyediakan Minuman Untuk Kegunaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar itu mengandungi butir matan palsu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah membenarkan Mohd Syafeeq diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rehab Abdul Shukur manakala Mohd Syafeeq diwakili Peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Mohd Syafeeq kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS