Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak menjawab isu yang dikemukakan berhubung jualan saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) kepada syarikat yang didakwa pro-Israel.
Ahmad Fayhsal berkata Setiausaha Agung DAP itu sebaliknya menyerangnya secara peribadi sedangkan dia adalah menteri yang bertanggungjawab dan turut terlibat dalam mesyuarat kabinet.
“Anthony Loke menggunakan hujah Ad Hominem dan falasi Straw Man konon (saya) salah pintu. Dia lupa sebagai menteri, dia terlibat dalam mesyuarat kabinet dan bertanggungjawab sama.
"Puak pentaasub Umno-DAP-PH bersorak gembira pertahankan penjualan aset strategik negara kepada pro-Zionis. Siapa sebenarnya yang bodoh,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Falasi merupakan kesalahan berfikir dan menggunakan hujah palsu mengelirukan untuk memperdayakan orang lain supaya menerimanya sebagai sah dan benar.
Ad Hominem misalnya adalah falasi yang menyerang peribadi seseorang dan bukan pandangan yang dikongsikan.
Manakala Straw Man Fallacy atau falasi Orang-Orang Jerami adalah taktik mengalihkan topik yang dibincangkan kepada isu lain yang seakan-akan berkait, tetapi sebenarnya menyimpang daripada topik asal.
Semalam sekumpulan aktivis anti-Israel termasuk ahli politik berdemonstrasi bagi membantah tawaran penjualan saham MAHB kepada konsortium yang dianggotai Global Infrastructure Partners (GIP).

GIP dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock, yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.
BACA: PANDUANKINI l Jualan MAHB: Apakah GIP dan apa kaitannya dengan Israel?
Kumpulan itu termasuk Wan Fayhsal berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, bagi menyatakan bantahan.
Susulan itu Loke berkata Ahmad Fayhsal dan kumpulan berkenaan "tersalah pintu" kerana mengadakan protes di hadapan kementeriannya.
“Sebenarnya mereka salah pintu... kalau nak hantar memorandum, bantahan, tak sepatutnya pergi ke Kementerian Pengangkutan sebab keputusan (penjualan) itu bukan di bawah Kementerian Pengangkutan,” kata Loke.
‘Loke main silap mata, taichi’
Dalam satu kenyataan berasingan Wan Fayshal menempelak Loke yang disifatkannya cuba bermain ‘silap mata dan mengalihkan isu terbabit.

“Loke cuba main silap mata, taichi dengan rakyat bila dia menepis persoalan penjualan saham MAHB yang menjaga aset strategik negara kepada syarikat pro-Zionis yang melabur dalam syarikat-syarikat senjata yang membunuh ribuan rakyat Palestin iaitu Blackrock,” katanya.
Menurutnya, memorandum yang disampaikan pihaknya bukan saja menegur menteri yang menjaga aset strategik negara, malah menegur Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri yang juga Pengerusi Khazanah Nasional dan menteri kewangan.
“Kamu Anthony Loke adalah ahli jemaah menteri, ada tanggungjawab bersama (collective responsibility) yang perlu mendahulukan kepentingan negara bukan kepentingan syarikat pro-Zionis," katanya.
'Tiada masalah salah alamat'
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua berkata pihaknya tidak ada masalah sama ada memorandum berkenaan dihantar ke alamat yang betul atau salah.

“Dari segi aspek tadbir urus perkara ini amat membimbangkan jadi saya, tidak ada masalah sama ada memorandum ini dihantar kepada alamat betul atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, tindakan itu juga sebagai menghormati kementerian pengangkutan dan terpulang kepada kementerian itu untuk membawa isu untuk dibincangkan kabinet.
“Saya fikir Khazanah Nasional Bhd ke, perdana menteri ke, mereka faham kita punya kebimbangan.
“Media juga dah laporkan kebimbangan kami, memorandum itu juga diketahui umum dan saya rasa ini bukan surat rahsia yang dihantar dan dibaca oleh Kementerian Pengangkutan," katanya.
