Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KES 1MDB | Pasukan pembelaan Najib Razak berhujah bukan tandatangan bekas perdana menteri itu yang tertera pada lima resolusi pekeliling (DCR) pengarah untuk 1MDB mendapatkan pinjaman AS$975 juta daripada Deutche Bank AG.

Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin tidak bersetuju dan mengulangi bahawa tandatangan pada lima dokumen bertarikh 2014 itu sepadan dengan tandatangan Najib.

Peguam Najib Wan Azwan Aiman Wan Fakhurddin dan saksi ke-49 pihak pendakwaan berhujah secara lisan semasa perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB berjumlah RM2.27 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri itu.

Dua hujah yang bercanggah itu mengenai tandatangan pada lima dokumen yang dikaitkan dengan pertuduhan salah guna kuasa keempat terhadap Najib.

Pertuduhan keempat - yang merupakan sebahagian daripada empat dakwaan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram - menuduh Najib menggunakan kedudukan badan awamnya ketika itu untuk mendapat suapan berjumlah RM44,570,920.70.

Dokumen yang dimaksudkan itu dikaitkan dengan Najib yang didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk membolehkan cabang tenaga 1MDB memperoleh pinjaman AS$975 juta itu.

Semasa prosiding hari ini di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Wan Azwan sedang membandingkan tandatangan pada lima dokumen itu berbanding dokumen lain yang mengandungi tandatangan Najib yang disahkan.

Semasa membentangkan lima dokumen itu di mahkamah, peguambela itu berhujah tandatangan padanya tidak sepadan dengan tandatangan Najib sendiri melihat tandatangan pada dokukmen DCR itu.

Walaupun Nur Aida bersetuju terdapat sedikit perbezaan untuk garisan pada lima dokumen itu, dia mengulangi bahawa ia memang milik Najib.

Dia memberi keterangan ini kerana siasatannya menunjukkan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahunya semasa siasatan bahawa ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho (Jho Low) membawa dokumen tersebut kepada Najib untuk ditandatangani oleh perdana menteri ketika itu.

Wan Azwan: Saya katakan pergerakan tandatangan adalah dari kanan kemudian kiri. Adakah anda bersetuju atau tidak (ini bukan tandatangan Najib)?

Nur Aida: (Ia adalah) sama.

Wan Azwan: Saya kata tidak sama.

Nur Aida: Saya tidak setuju.

Pegawai penyiasat SPRM berkenaan juga tidak bersetuju dengan dakwaan peguam bela bahawa lembaga pengarah 1MDB telah dikelirukan oleh tandatangan Najib yang didakwa palsu untuk mempercayai bahawa perdana menteri ketika itu meluluskan transaksi terbabit.

Bagaimanapun, Nur Aida bersetuju dengan Wan Azwan bahawa lima DCR itu adalah bukti dokumentari utama dalam kes salah guna kuasa terhadap Najib, bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB telah meminta pinjaman AS$975 juta untuk membeli balik saham syarikat pelaburan Malaysia itu dalam Aabar Investment PJS pada 2014.

Perbicaraan di hadapan hakim Sequerah bersambung pada hari Isnin minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas perdana menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib ialah perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada ketik aitu.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018 dan perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS