Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek mural 'Anime City' wakil rakyat DAP undang kontroversi hak cipta

Dalam satu penghormatan kepada mendiang artis manga Jepun, Akira Toriyama, satu mural gergasi menampilkan watak-watak dari siri popular Dragon Ball dilakar di Kampar, Perak.

Namun, kini mural tersebut menjadi subjek kontroversi berkaitan isu hak cipta.

Mural yang terletak di dinding bersebelahan pejabat cawangan DAP Keranji di Jalan Pejabat Pos itu adalah sebahagian daripada projek "Virtual Reality Anime City" yang diusahakan oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Angeline Koo.

Lau Shaw Ming, Presiden Persatuan Harta Intelek Kreatif Malaysia (MYCIP) yang baru sahaja ditubuhkan, berkata walaupun mural yang ingin dijadikan tarikan itu tidak dikenakan sebarang bayaran, skalanya yang besar memerlukan kebenaran daripada pemegang hak cipta di Jepun.

"Ramai orang memberi pelbagai alasan seperti 'ini bukan komersial; tiada caj dikenakan; ia penghormatan kepada pengarang'...

"Namun, apabila anda mencipta mural sebesar ini atau projek seperti 'Virtual Reality Anime City', anda memerlukan kebenaran daripada pemegang hak cipta, walaupun ia bukan untuk tujuan komersial.

"Tidak boleh diterima untuk menggunakan alasan tidak mengenakan bayaran atau memperbaharui bandar tempatan dalam menjustifikasikan pelanggaran ini. Ini adalah amalan yang sangat buruk," katanya dalam podcast di laman Malaysiakini versi Cina.

Mural setinggi 15 meter itu dipenuhi dengan 10 watak dari siri Dragon Ball serta potret penciptanya, yang meninggal dunia pada 1 Mac yang lalu.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin melancarkan mural Dragon Ball

Menurut laporan media, mural itu juga mempunyai ciri realiti terimbuh (augmented reality) yang boleh diakses dengan mengimbas kod QR di sebelah karya seni menggunakan fungsi kamera pada aplikasi mudah alih Facebook.

Semasa pelancarannya pada 6 Mei, Chong dan Koo berkata jika lokasi yang sesuai ditemui, lebih banyak mural watak anime atau manga lain akan dilakar untuk mengubah Kampar menjadi "Virtual Reality Anime City” untuk menarik pelancong.

Mengulas mengenai hal ini, Lau berkata jika seorang artis tempatan melukis mural tanpa sokongan kerajaan atau sektor swasta, pemegang hak cipta biasanya akan memejamkan mata.

"Namun, jika entiti kerajaan, perusahaan swasta, atau yang membuat keuntungan terlibat, akan timbul masalah besar. Lebih-lebih lagi, ini mewakili imej negara kita; ia amat memalukan jika pihak kerajaan sendiri mengetuai projek yang melanggar hak cipta," tambahnya.

Presiden MYCIP Lau Shaw Ming

Lau juga merupakan pengarah Majikku IP, sebuah syarikat yang mengurus harta intelek (IP) anime, termasuk karya berlesen popular seperti Dragon Ball, One Piece, dan Doraemon dari Jepun. Dia menjelaskan bahawa jika entiti kerajaan atau perusahaan swasta mahu menggunakan IP anime Jepun, permohonan mesti dibuat melalui syarikat pelesenan Malaysia kepada pihak Jepun.

"Jika pemohon menghubungi pihak Jepun secara langsung, mereka biasanya tidak akan mendapat respons. Secara amnya, anda perlu mengemukakan cadangan kepada unit pelesenan Malaysia untuk semakan sama ada rancangan itu boleh diterima.

"Jika boleh diterima, mereka akan memberikan syarat lanjut. Kerana setiap kerjasama pelesenan memerlukan bayaran lesen untuk menggunakan imej harta intelek," tambahnya.

Kemungkinan tindakan undang-undang

Menurut Lau, jika Toei Animation, pemegang hak cipta Jepun untuk Dragon Ball mengetahui terdapat mural di Kampar, mereka mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

"Ia bukan hanya soal pampasan akan tetapi imej seluruh negara akan tercemar," katanya memberi amaran.

Lau berkata apabila MYCIP mengetahui rancangan "Virtual Anime Reality City" oleh Chong dan Koo, ahli jawatankuasa pertubuhan itu menyuarakan kebimbangan mengenai akibatnya.

"Kami mempunyai banyak syarikat yang bekerjasama dengan Jepun. Jika perkara seperti ini terus berlaku di Malaysia, ia akan secara langsung menjejaskan hubungan perniagaan antara Jepun dan Malaysia.

"Pihak Jepun akan tertanya-tanya mengapa Malaysia terus melanggar hak cipta," tambahnya.

Tegas Lau, daripada melukis mural Dragon Ball, Chong dan Koo sepatutnya mempertimbangkan karya komik tempatan, seperti komik terkenal Kampung Boy oleh kartunis Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, yang berasal dari Ipoh.

"Mungkin anda masih perlu membayar, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak semahal IP anime Jepun. Sekurang-kurangnya orang akan melihat bahawa anda menyokong harta intelek tempatan dan anda membayarnya," tambahnya.

Apabila dihubungi, Chong enggan mengulas. Sementara itu, Koo berkata sama ada terdapat pelanggaran atau tidak boleh dijelaskan dengan berunding dengan peguam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS