Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan rumah Najib: Zafrul beritahu tentang titah adendum - MB Pahang

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib Razak menjalani tahanan di rumah.

Dalam afidavit berkenaan Wan Rosdy berkata dia juga telah diberitahu mengenai kewujudan titah adendum supaya bekas perdana menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas, naib presiden Umno itu berkata dia dimaklumkan mengenai titah diraja itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Jan.

"Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberitahu bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Aging XVI telah pun keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50 peratus dan hukuman denda pula kepada RM50 juta sahaja.

"Kedua, dengan terbit keputusan pertama, ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah mengeluarkan satu lagi perintah (perintah adendum) yang memerintahkan supaya pemohon menjalani dengan serta merta hukuman penjaranya di dalam keadaan di rumah kediaman pemohon dan bukan di mana-mana penjara,” jelasnya.

Berdasarkan cop masa pada dokumen itu, Menteri Besar Pahang itu memfailkan afidavit berkenaan pada 21 Mei lalu.

Menurut Wan Rosdy, selepas dimaklumkan mengenai dakwaan titah adendum itu, dia kemudian menghadiri mesyuarat dengan beberapa pemimpin Umno lain di rumah Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi di Kajang di mana perkara itu ada dibincangkan.

Zahid memberitahu dalam mesyuarat itu bahawa Zafrul telah memaklumkan perkara yang sama kepadanya sebelum ini, kata Wan Rosdy.

“Beliau (Zahid) juga menyatakan telah membaca perintah adendum tersebut dari Yang Berhormat Senator Zafrul,” tambah Menteri Besar itu.

Wan Rosdy mendakwa selain dia dan Zahid, individu lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, Wan Rosdy dalam afidavitnya mengakui dia tidak mempunyai salinan titah adendum yang didakwa bertarikh 29 Jan itu, atas alasan kerahsiaan dan kewajaran.

Afidavit itu menamakan tujuh responden, termasuk kerajaan persekutuan, menteri dalam negeri, peguam negara, dan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Wan Rosdy ialah pemimpin Umno kedua yang diketahui memfailkan afidavit terhadap kerajaan persekutuan berhubung dakwaan perintah tahanan rumah itu.

Sebelum ini, Zahid memfailkan afidavitnya pada 9 April lalu bagi menyokong permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Afidavit difailkan Wan Rosdy ‘terlalu lewat’

Bagaimanapun, menurut surat-menyurat oleh Jabatan Peguam Negara kepada mahkamah sivil bertarikh 23 Mei, jabatan itu membantah permohonan Najib untuk memasukkan afidavit Wan Rosdy ke dalam prosiding.

AGC berhujah bahawa ini adalah kerana permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memasukkan afidavit tambahan oleh Wan Rosdy dibuat sangat lewat dalam prosiding semakan kehakiman.

Peguam responden berhujah bahawa Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak membenarkan pemfailan lewat sedemikian, terutamanya apabila mahkamah sivil telah mendengar hujahan lisan pihak-pihak terlibatpada 17 April, dan telah menetapkan 5 Jun untuk memutuskan sama ada Najib boleh mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman itu.

Sekiranya mahkamah sivil memberikan kebenaran, mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh untuk mendengar hujahan lisan pihak terlibat mengenai merit tindakan undang-undang.

Najib memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan titah tambahan yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas sabitan dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Menurut afidavit Najib bagi menyokong semakan kehakiman tersebut, bekas ahli parlimen Pekan itu mendakwa titah diraja membenarkan pengurangan hukuman itu disertakan dengan perintah tambahan yang mengandungi perintah tahanan rumah.

Bekas presiden Umno itu memohon perintah mahkamah agar menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain mengesahkan tidah adendum berkenaan..

Menurut salinan permohonan semakan kehakiman itu, Najib mendakwa Agong mengeluarkan titah adendum pada 29 Jan, hari yang sama dengan titah agar hukuman terhadapnya dikurangkan.

Najib memohon perintah mahkamah agar responden bukan sahaja mengesahkan titah tambahan itu tetapi juga "mengeluarkan segera pemohon dari penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, di mana pemohon akan terus menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.”

Najib juga memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberikan versi asal titah adendum, kos, dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dia mendakwa dalam afidavitnya bahawa haknya telah terjejas dan dicabuli oleh responden apabila mengabaikan pertanyaannya berhubung titah adendum tersebut.

Dia mendakwa tindakan responden yang tidak menghiraukan permintaannya merupakan pencerobohan langsung terhadap hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga penghinaan langsung kepada Agong.

Najib seterusnya mendakwa bahawa responden cuba menyembunyikan kewujudan titah adendum itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS