Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebebasan media: Najib lebih baik berbanding Anwar, kata MP Bersatu
Diterbitkan:  May 28, 2024 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak lebih baik berbanding  Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam soal kebebasan media, kata seorang ahli parlimen pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata kedua-dua Najib dan Anwar melihat kebebasan media sebagai ‘tidak mutlak’, namun sekurang-kurangnya Najib bercakap secara substansial.

Wan Saiful Wan Jan

“Pada 11 April 2018, sebelum kerajaan BN jatuh, Najib pernah berkata kebebasan bersuara dan kebebasan media di negara kita adalah tidak mutlak. 

“Kini Anwar mengulangi apa yang Najib kata. Rupa-rupanya mereka hampir-hampir sama sahaja. 

“Cuma Najib lebih baik sebab pada 2018 beliau ada berkata bahawa kebebasan media perlu bersandarkan tiga perkara iaitu tanggungjawab, penerbitan berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan,” kata ahli parlimen Tasek Gelugor itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Wan Saiful berkata, sebaliknya, Anwar hanya berkata “tak kisah” tanpa menggariskan apa-apa isi yang bernas. 

“Najib dulu bercakap ada isinya. Tapi Anwar hanya gendang kosong sahaja,” katanya lagi.

Semalam, pada ucapannya semasa Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Kuching, Sarawak, Anwar mempertahankan "tindakan tegas" kerajaan terhadap ucapan menghasut, satu langkah yang secara tidak langsung menyumbang kepada penurunan taraf Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia tahunan yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

“Jika kita membenarkan perkauman berkembang, atau fasisme, atau ketaksuban agama untuk bebas di negara ini, maka kita mesti menjangkakan kemungkinan pergeseran, perbalahan kaum dan ketidakharmonian agama.

“Sudah tentu kami dikritik, rakan kita dari RSF ada di sini,” kata Anwar merujuk kepada Pengarah Biro RSF Asia-Pasifik Cedric Alviani pada majlis itu.

Menurut Anwar, bahawa dia tidak kisah kejatuhan Malaysia dalam indeks sebanyak 34 anak tangga ke kedudukan ke-107, sambil menambah bahawa adalah lebih penting untuk bersikap tegas terhadap isu perkauman dan fanatik agama.

Anwar berkata walaupun dia tidak berkompromi dengan pendiriannya mengenai peranan media bebas dalam demokrasi, namun satu garis sempadan mesti dibuat mengenai dakwaan cubaan untuk menghasut kebencian kaum atau sentimen terhadap institusi diraja.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, rujukan Anwar terhadap isu 3R (bangsa, agama, dan Raja-raja) yang diulang-ulang itu kerana mahu mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan dia mengurus ekonomi dan sosiopolitik negara. 

 “Isu 3R ini adalah "diversion tactic" (taktik lencongan) Anwar.

“Saya kesal kerana perdana menteri menggunakan platform Hari Wartawan Nasional untuk menyebarkan propaganda yang berulang-ulang,” kata Wan Saiful.

Kebebasan media di Malaysia, katanya kini berada dalam keadaan kritikal dan parah, sambil menambah bahawa ini disebabkan janji palsu Pakatan Harapan tentang kebebasan untuk akhbar.

“Semangat reformasi yang dilaungkan dulu hanya pembohongan untuk merampas takhta. 

“Apabila sudah berkuasa, media dicengkam dengan tindakan drakonian dan kuku besi. Habis semua ditipunya,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS