Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM6 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di Hutan Bandar Johor Bahru, di Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kerja-kerja bagi menaik taraf antaranya akan melibatkan pencahayaan, parkir, pintu masuk, taman tema air dan tapak perkhemahan.
“Kita jangka kerja menaik taraf bermula pada Januari 2026 dan kemungkinan suku keempat tahun depan ia akan dibuka secara berfasa (untuk naik taraf).
“…jadi akan datang Hutan Bandar Johor Bahru akan berubah wajah, lebih terang dan lebih selamat bagi orang ramai terutama untuk aktiviti malam seperti jogging dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Insentif Khemah Usahawan Mikro Johor yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah.
Mohd Jafni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan negeri bagi menaik taraf kawasan tumpuan di Johor Bahru.
Beliau berkata kerja-kerja pengindahan dan menaik taraf landskap di Taman Sri Lanang, di Johor Bahru pula dengan kos keseluruhan RM5 juta akan bermula pada Sept tahun ini.
Menurutnya lagi, bagi membaik pulih infrastruktur landskap Taman Merdeka di Johor Bahru yang sedang berjalan, ia dijangka siap pada suku ketiga tahun depan dengan kos keseluruhan RM3.47 juta.
Sementara itu Mohd Hairi ketika ucapan berkata Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) yang diselaraskan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), setakat ini telah melaksanakan 78 inisiatif dengan 13,223 usahawan menerima manfaat menerusi peruntukan lebih RM97 juta.
Tambah beliau, inisiatif pembiayaan BRJohor Niaga menerusi kolaborasi kerajaan negeri dan Bank Rakyat yang dilancarkan tahun lepas pula telah membantu 413 usahawan dengan jumlah pembiayaan RM26 juta.
Justeru, beliau menyeru usahawan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini merebut peluang memafaatkan program pembiayaan tersebut yang dibuka sehingga tahun depan.
- Bernama
