Polis sedang menjalankan siasatan berhubung pergaduhan membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Mohamed Nordin Abdullah, berkata dalam kejadian jam 7.15 malam itu, anggota berusia 26 tahun itu cedera dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Pasukan Khas Laut (Paskal) akibat salah faham.
Kejadian berlaku ketika perlawan bola sepak antara Paskal Unit Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (MKPL).
Anggota lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala akibat dipukul beramai-ramai.
"Mangsa mendakwa pemukul menuduh dia menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan pengadu tidak berbuat demikian.

"Pengadu yang cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala telah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Nordin berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 12.53 tengah hari, Selasa lalu.
Menurutnya, kes disifatkan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai dinasihatkan agar membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan pihak polis," katanya lagi
Sebelum ini, video pergaduhan berdurasi 17 saat itu tular di media sosial sejak Selasa lalu. Ia memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota tentera tolak-menolak di luar pekarangan Stadium TLDM Lumut.
