Konsert Gwen Stefani diteruskan, kata penganjur

   

Konsert penyanyi Gwen Stefani akan diadakan mengikut jadualnya walaupun mendapat bantahan daripada sebuah badan pelajar Islam Malaysia yang mendakwa ianya bertentangan dengan budaya dan norma-norma hidup masyarakat timur, kata penganjur utamanya.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah penganjuran konsert tersebut pada 21 Ogos depan - sebagai sebahagian daripada jelajah "Sweet Escape" Stefani - kerana latarbelakang dan sejarah aksi dan pemakaian penyanyi itu yang dianggap lucah.

Maxis Communications, syarikat induk Hotlink, penaja utama konsert tersebut berkata, konsert akan diteruskan kerana ia sudah diluluskan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya, Maxis Communications berkata, pihaknya menghormati nilai dan adat resam di negara ini.

Pengurus Besar Persembahan dan Penyelidikan Media Maxis, Rozalita Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mematuhi peraturan dan garispanduan - sama ada di segi pakaian ataupun aspek keselamatan - semasa konsert itu diadakan.

Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli berkata, remaja Malaysia akan terdedah kepada keruntuhan akhbar jika konsert seumpama itu dibenar diadakan di negara ini.

Katanya, tayangan iklan di televisyen mengenai konsert itu sangat melucahkan dan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

Patuhi garispanduan

Sehubungan itu, Mohd Hilmi menggesa pihak penganjurnya supaya membatalkan konsert terbabit atau berdepan dengan campurtangan PKPIM.

Rozalita berkata, Stefani akan diberi taklimat mengenai cara pemakaian dan garispanduan persembahan yang perlu dipatuhinya sewaktu mengadakan konsert tersebut.

Menurutnya, taklimat yang sama memang diberikan kepada semua artis luar yang melawat Malaysia supaya mereka dapat memahami adat budaya di negara ini.

Pada masa yang sama, kata Rozalita, rakyat Malaysia juga perlu mempunyai minda terbuka terhadap perkara seumpama itu.

PKPIM sebelum pernah membantah penganjuran konsert oleh artis luar negeri termasuk Pussy Cat Dolls, Scorpions, Michael Jackson dan Linkin Park.

Tahun lalu, pihak berkuasa Malaysian telah mengenakan denda $10,000 terhadap promoter musik yang menganjurkan konsert Pussycat Dolls.

- AFP

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In