Berikutan laporan media mengenai seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) diserang, anak lelaki mendiang Douglas Gomez - seorang jurulatih hoki yang dilaporkan diserang oleh pemerintah Johor pada 1992 - mengenang kembali bagaimana keluarganya diberi perlindungan oleh polis pada setiap masa.
Menggunakan platform X, Brian Gomez membandingkan keadaan negara ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri hingga sekarang apabila Anwar Ibrahim memimpin kerajaan.
Dalam satu siri ciapan bertajuk "Perlindungan polis pada 1992", Brian berkata: Dengar di sini, Anwar, anda tahu ini, tetapi mungkin anda sudah terlupa dengan mudah.
“Apabila bapa saya (dilaporkan) diserang, keluarga saya mendapat perlindungan polis 24 jam. Terdapat polis yang menyamar berhampiran rumah saya pada setiap masa.
“Semua orang di taman (kawasan perumahan) saya tahu ia adalah kereta polis yang menyamar, mereka semua mengambil gambar di hadapannya dan menunjukkannya kepada rakan dan saudara mereka…
"Apa yang penting ialah, ketika itu kami mendapat perlindungan polis," katanya.
Brian berkata keadaan itu bukan bermakna polis cenderung untuk melindungi mereka sebaliknya mahu menunjukkan kepada semua pihak bahawa kerajaan Mahathir "sangat jelas, secara terbuka, bahawa polis perlu melakukannya".
Katanya polis - sama ada ia disukai atau tidak - memberikan perlindungan kepada mereka sekeluarga saya kerana kerajaan - iaitu perdana menteri - mengarahkan mereka berbuat demikian.
Namun, dakwa Brian, keadaan sekarang adalah berbeza.
Enggan panjangkan kes
Menurut Brian dia boleh mendedahkan semua butiran mengenai apa yang berlaku pada 1992 tetapi menyedari langkah tersebut mungkin menyebabkan dia dipenjarakan.
Merujuk kepada pindaan perlembagaan negara yang digerakkan Mahathir pada 1993, Brian turut memuji keberanian ahli-ahli parlimen ketika itu termasuk Allahyarham Ghaffar Baba yang menjadi timbalan perdana menteri.
Untuk rekod kerajaan melaksanakan pindaan perlembagaan susulan insiden membabitkan mendiang Douglas bagi mengenakan tatakelakuan serta menghapuskan imuniti raja-raja daripada pendakwaan, serta kuasa mereka memberi pengampunan untuk diri sendiri dan keluarga masing-masing.

Ia bukanlah kali pertama Brian bercakap mengenai perkara itu.
Pada 2016, dia memberi maklum balas terhadap kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas Tunku Mahkota Johor itu mengingatkan kerajaan mengenai krisis perlembagaan semasa zaman Mahathir dan tidak mengulangi episod tersebut.
Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang diminta mengulas mengenai mesej tular di media sosial yang mengaitkan pengiring Tunku Ismail menyerang seorang lelaki OKU di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menurut Mohd Shuhaily, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beberapa jam kemudian, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mendedahkan mangsa telah membuat laporan kedua pada malam yang sama untuk menyatakan kes tersebut diselesaikan secara baik dan mangsa sendiri tidak mahu memanjangkannya.
Bagaimanapun, pelbagai pihak termasuk PN menggesa polis meneruskan siasatan, manakala Lawyers for Liberty menggesa kerajaan memastikan tiada sebarang campur tangan dalam kes tersebut.
Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Malaysia (Dawn) pula mendakwa polis melayan mangsa secara tidak profesional.
Dalam perkembangan berkaitan Tunku Ismail bertitah bahawa insiden itu melibatkan pengiring keselamatan polis.
Menggesa siasatan menyeluruh dan berharap keadilan diberikan kepada mangsa, Tunku Ismail menegaskan baginda tidak akan membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.
