Kes melibatkan seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dipukul oleh pengiring kerabat diraja kekal di bawah siasatan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa.
Bercakap dengan Malaysiakini, Rusdi menjelaskan polis tiada memutuskan untuk "menyelesaikan" atau menutup kes seumpama itu.
"Bukan kuasa kita (untuk tutup kes), kita kena rujuk Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
Dia berkata siasatan atas dakwaan serangan itu akan dibuat mengikut proses biasa, dengan hasil siasatan akan dihantar ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
"Kita nak menyelesaikan kes ini sebaik mungkin untuk kebaikan semua pihak," katanya, sambil menegaskan polis komited untuk menjalankan siasatan secara adil dan saksama.
Dua laporan polis
Dua hari lalu, Rusdi memaklumkan pengadu membuat satu lagi laporan polis bagi menyatakan dia tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.
Dia berkata lelaki berusia 46 tahun itu membuat laporan polis kedua pada pukul 9.45 malam, hari yang sama dia membuat laporan pertama.
Berdasarkan laporan polis, insiden itu berpunca daripada salah faham berkaitan arahan yang diberikan ketika mengalihkan kenderaan.
Walaupun pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti pihak terlibat, individu yang didakwa menyerang lelaki itu dipercayai adalah anggota pengiring Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan kejadian berlaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Kejadian itu pantas mengundang perhatian selepas laporannya tular di media sosial.
Kes berprofil tinggi itu mengundang perhatian ramai, dengan ada pihak membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan individu pekak dianiaya oleh orang yang dikaitkan dengan kerabat diraja.
Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa insiden itu melibatkan pengiring keselamatan polis.
Menggesa siasatan menyeluruh dan berharap keadilan diberikan kepada mangsa, baginda menegaskan tidak akan membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.
