Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid sindir Zafrul mengenai isu Blackrock
Diterbitkan:  Jun 2, 2024 5:01 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mencabar menteri Pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Aziz berhubung tindakannya mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki saham dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Saya terpana dengan falsafah yang disebut oleh Tengku Zafrul ketika mempertahankan dasar kerajaan yang membenarkan Blackrock membeli lapangan terbang kita.

"Pendek kata, dia berkata memandangkan ramai di antara kita menggunakan produk Apple, maka kita tidak sepatutnya membantah penjualan lapangan terbang itu kerana Blackrock ialah pemegang saham terbesar Apple. Di mana garis pemisah anda?

“Mendengar itu, saya merasa kasihan dengan beliau dan negara ini,” kata Zaid.

Zaid berkata seorang pemimpin perlu tahu menetapkan garis pemisah mengenai sesuatu perkara walaupun ia sukar.

"Hidup ini penuh dengan pilihan yang sukar dan kontradiksi, terutamanya berkaitan dengan pro dan kontra sesuatu yang memberi kesan kepada negara.

"Namun, menjadi tanggungjawab seorang pemimpin untuk membuat pilihan yang sukar antara yang betul dan salah, antara pilihan yang kurang berbahaya dan lebih berbahaya. Menimbang apa yang baik dan tidak begitu baik untuk negara memerlukan seorang pemimpin mempunyai kepercayaan untuk menetapkan garis pemisah itu.

"Saya tahu bahawa pemimpin 'payung terjun' untuk menerajui negara memiliki kesukaran untuk mengetahui di mana garis pemisah itu.

"Jika anda menghadapi kesukaran seperti itu, simpan sendiri. Tetapi jangan mengajar pelajar kita dan golongan muda tentang menetapkan garis pemisah sesuatu perkara sebagai sesuatu yang sia-sia," kata Zaid.

Dia merujuk status Zafrul sebagai menteri yang tidak dipilih namun kekal dalam kabinet melalui kedudukannya di Dewan Negara.

Beberapa pihak sebelum ini menentang penyertaan BlackRock, sebuah firma yang didakwa dikaitkan dengan Israel melalui anak syarikat milik penuhya Global Infrastructure Partners (GIP), dalam konsortium dengan Khazanah Nasional Bhd dan KWSP yang akan memperoleh semua saham dalam MAH.

Mereka mendakwa walaupun GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) akan memiliki hanya 30 peratus daripada ekuiti, namun ia membenarkan BlackRock masuk dalam pengurusan dan pemilikan 39 lapangan terbang di Malaysia.

Zafrul menepis perkara itu dan menegaskan bahawa BlackRock ialah syarikat tersenarai yang bukan dimiliki oleh Israel, manakala dana kekayaan negara dari Abu Dhabi, Kuwait, Arab Saudi dan Qatar juga mempunyai kepentingan dalam pegangan saham BlackRock.

Dia juga menegaskan bahawa BlackRock ialah salah satu pemegang saham terbesar Apple.

“Semua yang memiliki (produk) Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya. Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?

“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?” katanya dalam Madani Economy Townhall di Universiti Malaya ketika ditanya untuk menjelaskan rundingan penswastaan MAHB.

Kawal dunia

Zaid bagaimanapun menyangkal hujah dikemukakan Zafrul.

"Blackrock bukan semata-mata syarikat pelaburan besar seperti yang lain. Ia mungkin syarikat dana kekayaan terbesar di dunia. Ia boleh membeli Malaysia dengan mudah.

"Tetapi ia mempunyai agenda yang lebih luas. Falsafah tertentu mendorongnya. Ia untuk mengawal dunia seperti yang ditentukan oleh Washington dan London. Mengapa anda fikir Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada Blackrock atas semua bantuan yang diterima Ukraine setakat ini?” katanya.

Zaid menegaskan bahawa lapangan terbang ialah aset strategik bukan sahaja untuk syarikat penerbangan komersial tetapi juga untuk jet tentera.

"Kita mempunyai 70 daripadanya. Itulah sebabnya kita memerlukan pemimpin yang boleh membezakan antara kepentingan komersial dan kebimbangan keselamatan negara. Kita bukan bercakap tentang komputer riba dan iPhone di sini.

"Kehidupan adalah lebih daripada sekadar keselesaan banyak orang dan bergaul dengan golongan bangsawan, dan untuk itu, anda perlu percaya dan bersedia untuk membuat garis pemisah apabila melibatkan kepentingan negara," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS