Seorang peguam mendakwa salah satu hantaran Facebooknya - mengenai isu Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) - disekat atas permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Shamsher Singh Thind turut mempersoalkan sama ada Timbalan Menteri Perhubungan Teo Nie Ching terlibat atau tidak dalam perkara itu.
Pertanyaan itu dibuat, katanya, kerana Teo mempertahankan ahli parlimen Segambut, Hannah Yeoh, daripada dakwaan nepotisme dalam program Transit Responsif Permintaan (DRT) yang melibatkan syarikat dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan berkenaan.
“Hantaran saya telah disekat di Malaysia. DAP selalu bercakap tentang tender terbuka, jadi sudah tentu saya bertanya apa yang terbuka mengenai skandal DRT kerana tiada tender. Adakah itu salah?
“Saya tahu, Teo, kamu kaw kaw mempertahankan Yeoh. Dan saya tahu kamu ialah timbalan menteri komunikasi yang berkuasa ke atas MCMC.
“Jadi saya nak tanya kamu, adakah kamu telah menggunakan agensi kerajaan seperti MCMC untuk menutup mulut orang yang mengkritik kawan separti dan sekabinet kamu?” kata Shamsher di Facebook.
Asia Mobiliti dilantik sebagai satu daripada dua syarikat untuk menjalankan projek perintis perkhidmatan bas atas permintaan selama sembilan bulan di Selangor. Suami Yeoh, Ramachandran Muniandy merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat tersebut.

Pada 29 Mei lalu, Teo dilaporkan berkata, gesaan supaya Yeoh meletak jawatan berhubung perkara itu adalah "tidak adil" dan masih terlalu awal untuk Yeoh berbuat demikian.
Pada hari yang sama, Bernama melaporkan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han sebagai berkata, pemilihan Asia Mobiliti bukan dibuat melalui rundingan terus, sebaliknya melalui proses permohonan cadangan.
Asia Mobiliti berkata segala-galanya dilakukan mengikut undang-undang dan syarikat itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan tidak bertanggungjawab mengenai isu berkenaan.
Seorang lagi pengasas bersama Asia Mobiliti ialah pengarah dan bekas CEO Malaysiakini, Premesh Chandran.
Shamsher berkata sebelum ini PH berjanji dalam manifesto mereka untuk memansuhkan undang-undang zalim, justeru dia secara sinis membangkitkan persoalan sama ada langkah tersebut sudah dilaksanakan atau sebaliknya.
Katanya dia akan menghantar surat ke Facebook untuk mendapatkan pengesahan mengenai permintaan undang-undang yang diterima oleh syarikat media sosial itu.
“Notis tuntutan akan dihantar kepada MCMC untuk menjelaskan kesahan permintaan yang dihantar kepada Facebook,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi SKMM untuk mendapatkan ulasan.
