Zaid Ibrahim hari ini menggesa media bersatu menentang tapisan terpilih dalam laporan berita di negara ini.
Ketika membuat gesaan itu, bekas menteri itu memetik "blackout" (penggelapan) media utama mengenai sidang media pemandu e-hailing OKU yang mendakwa diserang oleh pengiring pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Ya, semua platform utama tidak melaporkan kenyataannya (mangsa), kecuali Malaysiakini, TMI (The Malaysian Insight) dan The Vibes.
"Siapa yang memberi arahan? Saya tahu mudah untuk menyalahkan editor sebagai pengecut, tetapi mereka mempunyai keluarga untuk diberi makan.
“Para reformis Madani tidak sepatutnya membiarkan tapisan terang-terangan seperti itu,” ciap Zaid di laman sosial X hari ini.
Minggu lalu, Ong Ing Keong, 46, menceritakan bagaimana seorang wakil istana hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di Kuala Lumpur ketika dia pergi ke situ untuk merakam kenyataannya berhubung serangan yang didakwa berlaku itu.
Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Malaysia (DAWN) berkata, Ong menyumbang kepada hanya satu daripada empat laporan yang dibuat selepas kejadian 28 Mei itu.
Menurut setiausaha agung NGO itu Anthony Chong, tiga laporan berikutnya disediakan oleh polis yang kemudian meminta Ong membaca dan menandatangani.

Zaid turut menekankan kepentingan menghapuskan tapisan, dengan menyebut reformasi selepas pemerintahan Suharto (bekas presiden Indonesia) sebagai contoh.
"Ekoran pembaharuan selepas 1999, mereka hapuskan Kementerian Penerangan.
“Kemudian, mereka menjamin kebebasan akhbar dan menubuhkan Majlis Akhbar. Perlembagaan melarang tapisan dan tiada pemilikan media berpusat. Itu kemajuan sebenar.
"Di tanah Madani, ia adalah sebaliknya. Kawalan multimedia terletak di bawah Seksyen 233 Akta (Komunikasi dan) Multimedia (1998) dan semakin kukuh.
"Kini menteri dalam negeri mahu Akta Mesin Cetak diperluaskan ke media digital," dakwa Zaid.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menafikan bahawa kementeriannya bercadang untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menyenaraikan portal dalam talian sebagai cara untuk mengawalnya.
Kata Zaid lagi, selain undang-undang yang dinyatakannya itu, Akta Hasutan dan kekangan bersuara masih digunakan secara meluas.
"Berapa kuasa dan kawalan yang mereka mahukan?" katanya.
Di tengah "keadaan tanpa harapan" ketika ini, Zaid kemudian menggesa para pengarang dari semua saluran berita - tidak kira besar atau kecil - untuk bersama-sama menentang penapisan.
"Profesion anda untuk bercakap benar adalah sesuatu yang dihormati. Sekurang-kurangnya apa yang anda boleh lakukan ialah cuba melindungi profesion anda daripada menjadi lebih teruk.
"Serangan Madani akan berterusan," kata Zaid.
