Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GHRF tak lapor Firdaus Wong pada polis, dakwa tiada tindakan diambil

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) memutuskan untuk tidak membuat laporan polis terhadap pendakwah Firdaus Wong walaupun menggesa pihak berkuasa bertindak terhadapnya kerana didakwa menggalakkan penukaran agama kepada golongan bawah umur.

Bercakap kepada Malaysiakini, Presiden GHRF S Shashi Kumar mendakwa ini kerana pihak berkuasa gagal bertindak ke atas laporan mereka sebelum ini mengenai isu yang sama.

Sambil menyifatkan tindak balas itu sebagai "disenyapkan", dia berkata: "Kami telah membuat laporan polis sejak 2017 mengenai perkara seperti itu termasuk beberapa pendakwah yang menghina agama lain."

“Apabila kami membuat laporan, kami juga memberikan bukti. Pada pandangan saya, sudah cukup (bukti) untuk dakwa mereka.

“Bagaimanapun, polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sentiasa mengklasifikasikan kes tersebut sebagai ‘NFA’ (tiada tindakan lanjut),” tambahnya.

Sashi mendedahkan bahawa GHRF juga menyerahkan memorandum kepada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan tetapi tidak diambil tindakan.

Antara agensi yang dihampiri mereka ialah Pejabat Perdana Menteri, AGC, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perpaduan Negara dan Bukit Aman.

Presiden GHRF berkata ini adalah sebab pertubuhan itu mula mendesak pembentangan Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama di Parlimen.

"Tetapi itu nampaknya tidak berlaku juga," keluhnya.

Shashi berkata walaupun kerajaan telah menyediakan talian hotline 24 jam untuk orang ramai membuat aduan mengenai penghinaan terhadap Islam, nampaknya kurangnya usaha dalam menangani rungutan orang bukan Islam.

“Di mana perlindungan untuk kami?” soalnya.

Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata tiada rancangan untuk mengadakan perkhidmatan serupa kepada bukan Islam memandangkan terdapat mekanisme pengurusan isu perpaduan sedia ada yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Sashi berkata ini adalah sebab di sebalik GHRF dan yang lain merujuk kepada mahkamah untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab berdepan keadilan.

Pada 26 Sept, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menafikan kebenaran GHRF dan empat kumpulan lain untuk meneruskan semakan kehakiman bagi memaksa peguam negara dan ketua polis negara mendakwa pendakwah Islam Syakir Nasoha atas dakwaan kenyataan menghasutnya terhadap orang bukan Islam .

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa pemohon gagal memberikan prima facie (bukti kukuh) bahawa Peguam Negara membuat NFA dengan mala fide (niat jahat).

Sementara itu, Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 19 Ogos sama ada Shashi boleh dibenarkan untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap Firdaus dan seorang lagi pendakwah kontroversi Zamri Vinoth Kalimuthu.

Mengenai kes melibatkan Firdaus baru-baru ini, Sashi berkata kenyataannya mengenai menukar agama remaja bawah umur telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa bukan Islam.

“Sekolah adalah tempat untuk anak-anak dididik dan diajar tentang etika, prinsip, akhlak dan akademik. Tetapi di sini, Firdaus Wong cuba mengajar remaja berbohong kepada ibu bapa mereka dan anda masih mengharapkan ibu bapa bukan Islam mempercayai sekolah kebangsaan kita?” soalnya.

Pemimpin NGO itu mengecam menteri pendidikan, menteri perpaduan negara dan Jakim kerana membisu mengenai perkara itu.

Sashi juga menggesa ahli parlimen untuk "bangun dan bertindak" dalam isu-isu berkenaan.

Firdaus menjadi tumpuan selepas GHRF mendedahkan video TikTok di mana pendakwah itu menasihati seorang individu tentang cara mengendalikan permintaan daripada remaja yang ingin memeluk Islam.

Pendakwah itu berkata, remaja itu sepatutnya dialu-alukan masuk Islam tetapi penukaran agama mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan. Dia turut berkongsi tips bagaimana remaja ini boleh mengamalkan Islam secara senyap-senyap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS