Bekas Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau mencadangkan supaya presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berundur susulan penjelasan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengenai program latihan ijazah kepakaran atau 'parallel pathway'.
Pada 7 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Dr Mohammad Shatar Sabran menjelaskan bahawa agensi itu tidak terbabit secara langsung dalam kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran berkenaan.
“Ini bermakna MMC mempunyai kuasa tetapi tidak mengikut dasar kerajaan.
“Tiada keperluan untuk sebarang pindaan kepada Akta Perubatan jika Ketua Pengarah (Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan) menghargai kuasa dan tanggungjawab dirinya sendiri untuk memartabatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
“Dia sepatutnya meletak jawatan kerana kegagalannya untuk menegakkan undang-undang, meningkatkan taraf penjagaan dengan memastikan kewujudan bersama antara parallel pathway dan ijazah sarjana tempatan dan memberikan hak eksklusif parallel pathway kepada satu universiti - Universiti Teknologi Mara,” kata Boo dalam satu kenyataan, hari ini.
Radzi adalah ketua pengarah kesihatan dan juga presiden MMC, manakala Boo pula adalah seorang doktor perubatan yang berkhidmat selama dua penggal sebagai Adun Skudai DAP dari 2008 hingga 2018.
Boo berkata bahawa akreditasi untuk program parallel pathway seharusnya dikongsi oleh kedua-dua universiti luar negara dan tempatan.
"Sebarang kartel mengenai perkara itu adalah bertentangan dengan dasar kerajaan Madani," tambahnya.
Shatar sebelum ini menjelaskan bahawa bidang kuasa menerima atau menolak pendaftaran dan pensijilan pengamal perubatan tertakluk kepada MMC termasuk bidang kepakaran perubatan dan dalam isu ini ialah kardiotoraksik.
Katanya, dalam aktiviti akreditasi dan pengiktirafan institusi perubatan di dalam negara, barulah dijalankan secara bersama antara MQA dengan MMC, justeru isu yang timbul sebelum ini tidak membabitkan MQA secara langsung.
"MQA hanya bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu menyelesaikan isu yang berkaitan berdasarkan bidang kuasa dan peraturan sedia ada di agensi ini," katanya.
Dia berkata demikian ketika mengulas isu membabitkan program latihan ijazah kepakaran atau 'parallel pathway'.
Isu ini timbul selepas MMC menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraksik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf susulan penguatkuasaan pindaan Akta Perubatan mulai 2017.
