Seorang bekas pembantu akauntan di sebuah syarikat pelancongan dan pakej umrah dihukum penjara lima tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas disabitkan bersalah atas 11 pertuduhan pecah amanah wang majikannya berjumlah RM149,000.
Hakim Nik Habri Muhamad membuat keputusan tersebut terhadap Muhammad Khairi Ismail, 31, setelah dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Nik Habri mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan iaitu pada 25 Jan 2023, dan hukuman bagi setiap pertuduhan berjalan serentak.
Muhammad Khairi didakwa melakukan kesalahan pecah amanah wang syarikat Al Quds Umrah dan Tours (M) Sdn Bhd di premis syarikat itu di Wisma Al Quds, Jalan Sultan Yahya Petra Kota Bharu antara 29 Sept 2022 hingga 25 Jan 2023.
Semua kesalahan itu dilakukan dengan memindahkan wang yang diamanahkan dari akaun bank syarikat terbabit di MBSB Bank ke akaun Maybank miliknya bagi kegunaan sendiri.
Muhammad Khairi didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan (Akta 574). Sabit kesalahan dia boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimun 14 tahun dan sebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Ahmad Faiz Fitri Mohamad selaku timbalan pendakwa raya, manakala tertuduh diwakili peguam Norizaidah Abdul Salam.
Ketika rayuan, Norizaidah memohon supaya hukuman ringan dijatuhkan ke atas Muhammad Khairi memandangkan tertuduh bersama abang sulungnya perlu menanggung empat adik-beradik yang masih belajar serta ibu bapa mereka yang mengalami sakit tua.
Nik Habri kemudian menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa lain dan mengingatkannya agar insaf atas perbuatan yang dilakukan.
- Bernama
