Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Korea Utara hantar belon sampah lawan propaganda K-Pop Korea Selatan
Diterbitkan:  Jun 10, 2024 9:43 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Korea Utara sekali lagi menghantar ratusan belon yang membawa sampah ke Korea Selatan, sebagai respons ke atas propaganda yang dihalakan ke atas mereka.

Menurut laporan Al Jazeera, belon tersebut dihantar selepas adik perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un memberi amaran agar Seoul menghentikan siaran propaganda di sempadan kedua-dua negara.

Tentera Korea Selatan dilaporkan berkata, Pyongyang menghantar lebih 300 belon membawa sampah merentasi sempadan selepas Kim Yo Jong memberi amaran siaran pembesar suara pihak Korea Selatan berisiko mencetuskan krisis.

“Ini adalah permulaan ke arah situasi yang sangat bahaya,” kata Kim seperti dipetik.

Bagaimanapun, penghantaran belon kali ini hanya membawa kertas dan sisa plastik, berbanding bahan seperti najis, kertas tandas dan puntung rokok sebelum ini.

Seoul pula menyatakan pihaknya tidak mengesan sebarang belon milik seterunya itu di udara setakat pukul 8.30 pagi tadi.

Sebagai propaganda, Seoul sebelum ini memasang lagu-lagu K-Pop serta menyiarkan berita antarabangsa - yang sememangnya disekat di Korea Utara - menerusi pembesar suara di sempadan.

Siaran itu pernah dihentikan pada 2018 susulan usaha memulihkan hubungan yang dimulakan oleh presiden Korea Selatan pada masa itu, Moon Jae-in.

Namun siaran itu dimulakan semula sebagai tindak balas terhadap Pyongyang menghantar lebih 1,000 belon sampah sejak beberapa minggu lalu.

Pyongyang menyatakan belon tersebut dihantar sebagai tindak balas terhadap tindakan aktivis Korea Selatan yang menghantar risalah anti-Korea Utara dan pemacu USB yang penuh dengan muzik dan drama keluaran negara itu menyeberangi sempadan.

Menurut profesor Ehwa Womans University di Seoul, Leif-Eric Easley, Seoul tidak mahu ketegangan ketenteraan tercetus di sempadan manakala Pyongyang ingin menghalang kemasukan maklumat dari luar yang boleh menggugat pemerintahan Kim.

“Korea Utara mungkin sudah tersilap perkiraan, kerana demokrasi Korea Selatan tidak boleh dengan menghentikan penghantaran belon oleh NGO dengan begitu saja, seperti negara autokrasi.

“Pyongyang biasa menggunakan taktik asimetrik untuk mendapat kelebihan, tetapi dalam ruang maklumat hari ini, ia diatasi oleh mesej kebebasan, kejayaan ekonomi dan K-pop,” kata Easley seperti dipetik laporan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS