Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS: Kenapa bantuan subsidi diesel diberi secara 'pukul rata'?
Diterbitkan:  Jun 11, 2024 2:28 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman mempersoalkan mengapa bantuan subsidi diesel atau Budi Madani diberikan menerusi kaedah “sama rata" atau flat rate.

Ahli parlimen PAS itu juga meminta Menteri Kewangan II AMir Hamzah Azizan menjelaskan apakah kaedah penyaluran sama-rata itu juga akan digunakan untuk pemberian bantuan subsidi petrol (Padu Madani).

"Persoalan saya, mengapa bantuan RM200 Budi Madani ini diberikan secara 'pukul rata' (flat rate) - tanpa mengira tahap pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti dan jarak, serta jenis dan kuasa enjin kenderaan, bagi setiap pemilik yang layak?

"Persoalan saya, adakah kaedah penyaluran secara sama-rata (flat rate) juga akan digunakan untuk pemberian bantuan subsidi petrol (PADU Madani), diandaikan RM100 sebulan, bagi setiap isi rumah yang layak?" soal Syahir dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, dia juga mempersoalkan apakah tujuan data peribadi yang bersifat 'unik & identikal' dikongsikan dalam sistem Padu & Budi.

Katanya data itu meliputi maklumat pekerjaan, pendidikan, pendapatan bersih, jumlah tanggungan, komitmen hutang, model kenderaan, lokasi kediaman serta jarak tempat kerja bagi setiap isi rumah.

Syahir memberi contoh dua individu yang mempunyai status pendapatan yang sama, tetapi berbeza tahap komitmen masing-masing.

"Saya datangkan contoh pengiraan, Encik Razifi dan Encik Lim (bukan nama sebenar), kedua-duanya mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan, memiliki model kenderaan Myvi 1.3 cc yang sama, tinggal berjiran, dan bekerja di kilang yang bersebelahan, jaraknya 20 km dari rumah mereka. Bezanya, Encik Razifi mempunyai 5 orang anak yang masih bersekolah, manakala Encik Lim hanya mempunyai 1 orang anak.

"Adakah jumlah bantuan subsidi petrol (Puad Madani) yang akan disalurkan kepada Encik Razifi dan Encik Lim, ditetapkan pada nilai RM100 yang sama-rata (flat rate) atau pada kadar yang 'unik & identikal' mengikut keperluan dan tanggungan? Sama ada jumlahnya mencukupi ataupun tidak, itu suatu topik perbahasan yang lain," katanya.

Syahir berkata, dia membangkitkan soalan itu kerana mahu mengetahui apakah motif pengumpulan maklumat peribadi itu bertujuan untuk penyasaran (data peribadi) pengundi.

"Sebagai seorang teknokrat yang disegani, mohon jawapan ikhlas daripada YB Senator Menteri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS