Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram ingatkan polis - Tak perlu permit untuk berhimpun
Diterbitkan:  Jun 13, 2024 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Suaram hari ini membidas polis kerana berkeras mahukan  permit untuk mengadakan perhimpunan walaupun tiada keperluan sedemikian dinyatakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).

NGO hak asasi itu mengulas laporan media yang memetik Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Kasim Muda sebagai berkata tiada kelulusan diberikan kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mahu menganjurkan perhimpunan 'Kami Mahu Air Sabah' esok.

“Permit tidak diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan aman. 

“Perkara ini telah diperkukuh oleh Ketua Polis Negara pada 4 Mac tahun ini, malah termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman melalui keperluan penganjur untuk memaklumkan polis lima hari sebelum perhimpunan,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, adalah dilaporkan pelajar UMS merancang untuk mengadakan perhimpunan di luar Menara Kinabalu, bangunan pentadbiran utama kerajaan negeri Sabah, esok berikutan bekalan air yang kerap terputus di universiti itu.

Mengulas lanjut, Sevan berkata, polis perlu menghentikan amalan lama yang mengelirukan rakyat untuk mempercayai bahawa permit diperlukan untuk protes menjadi 'sah'.

Sebaliknya, katanya, polis bertanggungjawab melindungi hak orang ramai untuk berhimpun secara aman, iaitu hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Mana-mana orang awam boleh menganjurkan dan mengambil bahagian dalam perhimpunan aman tanpa perlu menghadapi ugutan dan tindak balas daripada mana-mana pihak.

“Ini kerana ia adalah saluran yang sah untuk bersuara mengenai isu-isu berkepentingan. 

“Sehubungan dengan itu, Suaram menggesa polis Kota Kinabalu untuk memudahkan demonstrasi aman #KamiMahuAir esok, dan memastikan keselamatan penganjur dan peserta yang hadir,” katanya.

Menurut Sevan, pembaharuan sistemik perlu dilakukan untuk memastikan hak untuk berhimpun secara aman dihormati secara konsisten oleh kerajaan. 

“Keterbukaan kerajaan untuk memperkemas pemberitahuan perhimpunan aman harus dibuktikan dengan usaha dengan menjalankan pengumpulan input daripada pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS