Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Kamera badan polis yang ditunggu-tunggu
Diterbitkan:  Jun 14, 2024 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Cadangan untuk melengkapkan polis dengan kamera badan (BWC) telah diperkatakan sejak bertahun-tahun lalu.

Penantian sekian lama itu mungkin akan berakhir tidak lama lagi selepas Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pada Mei lalu bahawa kumpulan pertama peranti itu akan tiba seawal bulan ini.

Menerusi PANDUANKINI kali ini, Malaysiakini menemubual Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad dan pembekal BWC, Mindwave Consultancy, Fakhrun Nizam Tajudin mengenai pelancaran kamera badan berkenaan.

Apa itu BWC dan mengapa ia penting?

Seperti namanya, BWC ialah kamera video yang dipakaikan pada anggota penguatkuasa dan biasanya diletakkan di atas dada menghadap bahagian hadapan.

Berbanding kamera aksi pengguna, kamera ini biasanya direka untuk menyukarkan pengubahsuaian, boleh digunakan dalam persekitaran yang lasak dan bertahan dalam kendalian kasar, serta mempunyai hayat bateri dan storan yang mencukupi untuk merakam tugas anggota sepanjang syif mereka.

Bergantung kepada model, ia juga boleh merekodkan maklumat tambahan yang mungkin membantu dalam penyiasatan, seperti tarikh, masa dan koordinat GPS.

Ia juga memerlukan infrastruktur untuk mengendalikan pengecasan dan penyelenggaraan sejumlah besar peranti, serta memuat turun, mengurus dan menyimpan sejumlah besar data.

Kamera ini juga boleh menjadi saksi senyap dalam merakam percakapan antara polis dengan orang awam.

Kumpulan masyarakat sivil melihat BWC sebagai satu cara untuk mempertanggungjawabkan pihak polis dan mencegah salah guna kuasa. Polis juga melihat kamera ini sebagai satu cara untuk mengekalkan integriti pasukan itu, serta mencegah sebarang tuduhan yang tidak wajar terhadap anggotanya.

Ini terutama apabila polis dan orang awam bercanggah pendapat mengenai apa yang berlaku dalam sesuatu kes berprofil tinggi.

Bilakah polis memperoleh kamera ini?

Wan Hassan berkata pemasangan perisian sokongan dan pelayan di Bukit Aman sudah siap, dan projek perintis untuk meletakkan kamera di Lembah Klang akan bermula bulan ini.

Fasa awal melibatkan kerja-kerja pendawaian di stesen dok (perisian pengurusan bukti digital) di balai polis terpilih dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Mulai 10 Jun dan seterusnya, pendawaian dan pemasangan stesen dok akan dimulakan di lokasi perintis terpilih di kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Malaysiakini awal minggu ini.

Lokasi perintis di Kuala Lumpur ialah IPD Dang Wangi, balai polis Tun SH Lee, dan balai polis trafik Jalan Bandar. Di Selangor pula ialah IPD Klang Utara dan balai polis Bandar Bharu Klang.

Wan Hassan berkata IPD Dang Wangi dan Klang Utara akan menerima 136 unit BWC pada 19 Jun.

Polis di kedua-dua daerah ini akan melakukan penilaian terhadap kamera tersebut sehingga 24 Julai, dan akan terus menggunakannya dalam tugas harian mereka selepas tempoh rintis.

Setelah ujian rintis selesai, pemakaian kamera badan akan dilancarkan di:

Zon Tengah (Kontinjen Bukit Aman, Kuala Lumpur, Selangor): 1,744 BWC akan diterima menjelang minggu terakhir Ogos 2024 termasuk yang diterima lebih awal dalam fasa perintis.

Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor): 1,472 BWC pada awal Oktober 2024.

Zon Utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis): 1,952 BWC pada awal pertengahan November 2024.

Zon Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan): 1,048 BWC pada awal Disember 2024.

Sabah: 704 unit pada minggu keempat Disember 2024.

Sarawak: 728 unit pada minggu ketiga Januari 2025.

“Penggunaan penuh dalam pasukan polis akan dilaksanakan pada Mac 2025,” kata Wan Hassan.

Siapa yang akan memakainya?

Wan Hassan berkata BWC akan digunakan oleh anggota unit kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) jabatannya.

Ia juga akan dikeluarkan kepada anggota balai polis yang ditugaskan untuk menjalankan rondaan pencegahan jenayah, serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Bagi mempersiapkan anggota dengan penggunaan BWC, kontrak perolehan peranti tersebut merangkumi 17 sesi "latihan untuk pelatih," yang masing-masing melibatkan 20 anggota. Sesi pertama akan bermula bulan depan manakala sesi terakhir akan diadakan pada akhir Januari tahun depan.

Sementara itu, prosedur operasi standard untuk menggunakan BWC akan dimuktamadkan semasa bengkel yang akan diadakan pada minggu terakhir Ogos tahun ini.

Adakah peranti ini boleh diusik?

Tidak, Fakhrun memberi jaminan kamera berkenaan tidak boleh diusik seperti memadamkan rakaman atau mengubah masa dan tarikh yang dirakamkan.

“Selagi video itu disimpan di dalam sistem, video itu akan ditanda dengan lokasi, masa dan maklumat (peribadi pegawai),” tambahnya.

Fakhrun memberitahu Malaysiakini kamera berkenaan adalah model MPT221 daripada Dahua Technology China, yang sudah digunakan oleh agensi penguatkuasa undang-undang lain di dalam dan luar negara.

Ia boleh digunakan sekurang-kurangnya lapan jam pada satu-satu masa, dan boleh bertahan di dalam air sehingga kedalaman 1.5 meter dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.

“Ini adalah model sekarang dan sistem yang ada disokong oleh teknologi dan keselamatan terkini dalam pasaran,” katanya.

Laman web pengeluar menyatakan kamera berkenaan juga mempunyai lampu inframerah yang boleh dihidupkan secara automatik atau manual untuk membolehkannya "melihat" dalam gelap, dan penstabilan imej elektronik untuk meningkatkan kualiti imej.

Fakhrun berkata kontrak perolehan itu juga termasuk sistem backend untuk membantu memantau dan mengawal penggunaan BWC, namun Wan Hassan menambah ia bukan bermakna Bukit Aman akan dapat mengakses peranti itu dari jauh ketika ia berada di lapangan.

Ini kerana kontrak perolehan tidak merangkumi kad SIM untuk peranti tersebut.

Menurut Wan Hassan, peranti itu berharga RM1,650 setiap satu, bermakna kos keseluruhan untuk 7,648 BWC sahaja melebihi RM12.6 juta.

Tambahnya, kontrak kerajaan dengan Mindwave Consultancy adalah selama dua tahun dari 15 Feb 2024 hingga 14 Feb 2026, dengan nilai kontrak keseluruhan RM28,396,340.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS